Liputan Liga Super Standart Kualiti 3GP

Selepas 3 perlawnan CIMB Liga Super Malaysia 2020 berlangsung, ramai dari peminat bola sepak yang sudah mula hilang sabar dengan kualiti perkhidmatan siaran langsung yang ditawarkan oleh Unifi musim ini.

Kami cuba mendapatkan komen dari pengguna dilaman sosial twitter untuk mengetahui apakah permasalahan utama yang dihadapi oleh pengguna yang menggunakan aplikasi Unifi PlayTV bagi menonton perlawanan siaran langsung bola sepak.

Dari maklum balas yang diterima, majoriti permasalahan adalah berkaitan dengan kualiti visual siaran itu sendiri yang persis kualiti video 3GP mengikut kata-kata yang diluahkan oleh mereka.

Ada juga diantara mereka yang terpaksa menonton siaran LIVE Streaming haram disebabkan kegagalan sistem pembayaran yang banyak menyusahkan pengguna sebenarnya.

Selain itu, platform Unifi ini tidak ‘user friendly’ kerana membuatkan pengguna perlu melakukan beberapa perkara seperti membuat langganan perlu menggunakan laptop atau PC, namun siaran hanya boleh ditonton di telefon sahaja.

Mengapa bayaran untuk langganan tidak dibuat terus dalam aplikasi PlayTV? Adakah platform ini tidak bersedia atau ada punca lain yang bakal meruntuhkan reputasi Unifi TV dikemudian hari.

Jadi, adalah menjadi tanggungjawab pihak UnifiTV atau TM untuk memberikan penjelasan serta penyelesaian segera bagi semua permasalahan yang dihadapi oleh pengguna.

Ada juga pengguna yang telah mula melabelkan UnifiTV sebagai ‘gagalis’ dan terasa ‘dikencing’ dengan apa yang diterima selepas melanggan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna diluar negara juga ada menyatakan luahan mereka kerana tidak dapat menonton perlawanan disebabkan sekatan yang dibuat – mungkin ada sebab tertentu disebalik kekangan seperti ini.

Kualiti yang cincai sebegini membuatkan ramai yang mula merindui platform penyiaran lain yang sebelum ini telah berjaya memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik berbanding semasa.

Walaupun ada features yang menarik untuk digunakan, tetapi kualiti visual yang dipaparkan dan proses pembayaran adalah prioriti utama yang perlu diperbaiki segera jika tidak mahu kehilangan pelanggan.