Lang Merah Terima Tempias

Perg0lakan politik yang sedang melanda kerajaan negeri Kedah tampak bakal memberi ‘tempias’ kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi memegang jawatannya selepas berlakunya perubahan tampuk kepemimpinan kerajaan negeri selepas ini, berkemungkinan besar dia perlu melepaskan jawatannya sebagai Presiden KFA.

Ini kerana berdasarkan kes terdahulu, perubahan kerajaan negeri pada 2018 menyaksikan presiden sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meletakkan jawatannya sebelum Mukhriz sekali lagi dilantik sebagai Presiden KFA.

Situasi sama turut disaksikan pada 2016, Mukhriz melepaskan jawatannya sebagai Presiden KFA ketika itu apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar selepas dikatakan hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, jika Kedah memiliki Menteri Besar yang baharu, beliau tidak automatik menjadi Presiden KFA namun mengikut kelaziman, trend itu akan diteruskan memandangkan Menteri Besar memiliki ‘kuasa’ untuk mencari dana bagi pengurusan pasukan.

Mengulas mengenai senario ini, Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara, Mohd Safarizal Mohd Sobri mengharapkan ‘pertukaran’ kerajaan yang dijangka berlaku itu tidak akan menjejaskan KFA mahupun bola sepak Kedah.

Safarizal berkata, sekalipun timbul sedikit kerisauan memandangkan perubahan berlaku di pertengahan musim, namun rekod lampau sudah membuktikan betapa pihak terbabit tidak pernah lepas tangan untuk memelihara kebajikan bola sepak di negeri itu.

“Apa yang boleh kami harapkan nanti kalau betul berlakunya perubahan dalam KFA, barisan baharu dapat memberi fokus kepada isu kritikal yang sedang melanda ketika ini khususnya membabitkan tunggakan gaji.

“Pada saya, perubahan kepemimpinan KFA ini bukan perkara asing kerana banyak kali berlaku. Ketika 2008 pun, ada perubahan kerajaan namun Kedah berjaya mencipta kejayaan. Mungkin ia boleh menjadi panduan kepada pengurusan baharu kalau adanya perubahan nanti,” katanya.