Lagu baharu buat Hattan sebak

PETALING JAYA – Penyanyi, Datuk Hattan sebak sehingga terpaksa berhenti seketika tatkala mendendangkan lagu terbaharunya berjudul 5 Oktober.

Lagu ciptaan Nazri Othman atau Jaybon dan lirik oleh Bob Lokman tersebut disifatkan sangat menyentuh jiwa kerana mengisahkan kerinduan Bob kepada anak sulungnya, Mohd. Adam yang meninggal dunia setahun lalu.

Lebih bermakna, judul 5 Oktober juga dipilih sebagai simbolik setahun pemergian Adam pada  tarikh sama pada tahun 2018.

“Ketika saya menyanyikan lagu ini, saya terbayangkan wajah arwah Adam ketika masih hidup.

“Arwah membesar depan mata saya. Saya mendukung dia sejak kecil, dia juga kerap ikut semasa sesi sound check jadi bagaimana saya hendak lupakan arwah,” kata Hattan usai majlis pelancaran single berkenaan di pejabat Warner Music Malaysia, Damansara.

Mengakui berdepan kesukaran ketika sesi rakaman, Hattan menyatakan nyanyiannya kerap terhenti kerana terkenangkan keperibadian arwah yang sangat menghormati orang tua.

Adam meninggal dunia ketika berusia 25 tahun akibat ketumbuhan dalam otak.

“Semasa rakaman pun sama. Ketika  mahu nyanyi lirik pertama, air mata sudah mengalir keluar. Saya dah terbayang wajah arwah ketika di masjid semasa menguruskan jenazah.

“Arwah Adam ini anak yang sangat baik. Arwah boleh dijadikan sebagai contoh kerana ketaatannya kepada keluarga walaupun dalam keadaan sakit tetap memikirkan tentang ibu dan ayahnya,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Mahligai Syahdu itu juga sedang sibuk dengan persediaan untuk konsert solo yang akan berlangsung pada 28 Febuari tahun depan namun perincian tentang konsert tersebut masih dalam perbincangan. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *