Kisah Pemain Import Yang Berkahwin Dengan Gadis Tempatan

Tidak ramai peminat bola sepak tempatan mengenali siapa Argzim Redzovic sebelum ini walaupun sudah masuk tiga musim dia bermain di Liga Malaysia, mungkin kerana dia beraksi  Liga Perdana – bersama PDRM (2018/2019) dan Terengganu FC II (2020).Bekas pemain skuad Bawah 19 Tahun Montenegro berusia 27 tahun ini mula mencuri tumpuan selepas mempamer aksi mantap bersama PDRM FA dalam saingan Piala Malaysia musim lalu. Walaupun PDRM FA gagal melepasi saingan peringkat kumpulan ketika itu, namun Argzim antara pemain yang paling menonjol.‘Saham’ Argzim semakin meningkat apabila berita perkahwinannya dengan gadis tempatan yang dikenali sebagai Fina pada Ogos lalu mula disebar melalui media sosial dan portal bola sepak. Sejak itu ramai yang ingin mengenali jejaka berkenaan dengan lebih dekat.Perkahwinan Argzim dengan Fina juga dilihat bakal membuka ruang kepada pemain import itu untuk bergelar pemain naturalisasi Harimau Malaya.Ikuti temubual wartawan La Bola Malaya, RODLY FADLY bersama Argzim dan isterinya, Fina (Nurrafiana Azman) sekitar beberapa bulan yang lalu ketika dia masih lagi merupakan pemain PDRM.

LA BOLA: Argzim, ramai yang sudah mula mahu mengenali kamu terutama selepas prestasi kamu yang bagus bersama PDRM di Piala Malaysia (2019) ditambah pula dengan berita perkahwinan kamu dengan rakyat Malaysia. Boleh kamu ceritakan serba sedikit latar belakang kamu?

ARGZIM: Saya perlu berterima kasih kepada PDRM dan Fina kerana merekalah yang membuatkan saya mula dikenali di sini.

Sejak hari pertama di sini, saya sentiasa yakin, kalau saya bermain dengan bagus, peminat akhirnya akan mengenali saya walaupun ia mungkin mengambil masa kerana bermain dalam Liga Perdana.Tapi, Piala Malaysia memberi saya peluang menunjukkan apa yang mampu saya lakukan. Ia juga membuktikan PDRM adalah sebuah pasukan hebat yang mana kami memberi saingan hingga ke perlawanan terakhir kepada Selangor, Melaka dan Felda United dalam Kumpulan D walaupun gagal ke suku akhir.Saya juga akui, perkahwinan dengan Fina turut menjadi faktor saya mula diberi perhatian oleh media dan peminat bola sepak di sini.Secara ringkasnya, saya adalah anak sulung daripada tiga adik-beradik lelaki. Kami memang dibesarkan dalam keluarga bola sepak kerana ayah saya (Skender Redzovic) terbabit dalam sukan ini sejak muda tapi sekarang beralih kepada bidang pelancongan.Mehmet Durakovic (jurulatih Perak) pula adalah sepupu saya. Jadi, saya memang dibesarkan dalam lingkungan keluarga bola sepak yang sudah tentu banyak mempengaruhi kehidupan saya.

LA BOLA: Bagaimana pula perjalanan karier anda?

ARGZIM: Karier bola sepak saya bermula pada usia 6 tahun, selepas itu menjadi pemain profesional dengan beberapa kelab di negara saya, antaranya adalah FK Mogren yang pernah beraksi dalam pertandingan Liga Juara-Juara Eropah, Piala UEFA dan Piala Europa.Sementara itu pencapaian tertinggi saya bersama pasukan kebangsaan adalah mewakili pasukan Bawah 19 Tahun Montenegro.

LA BOLA: Sudah tentu semasa kanak-kanak, kamu mempunyai impian besar dalam bola sepak.

ARGZIM: Ya, impian saya sangat besar iaitu mahu beraksi di Eropah terutama bersama kelab kegemaran saya, Juventus. Saya mungkin dapat mencapainya jika tidak mensia-siakan peluang yang datang 11 tahun lalu.

LA BOLA: Boleh kamu jelaskan?

ARGZIM: Semasa berusia 16 tahun, Dinamo Zagreb menawarkan saya menyertai akademi mereka dan meminta saya berlatih di sana selama enam bulan sementara menunggu pintu perpindahan dibuka untuk membeli saya.Tapi, kelab saya, Mogren tidak membenarkan saya terus berlatih di sana sebaliknya meminta saya pulang ke Montenegro dan menyerapkan saya ke dalam skuad senior dengan harapan mereka dapat menjual saya dengan harga lebih tinggi.Setahun kemudian, sekali lagi saya ke sana tapi kali ini saya pula membuat pilihan untuk pulang ke Montegero kerana tidak mampu menanggung rindu kepada keluarga, rakan-rakan dan kampung halaman.Ketika itu saya masih muda, belum matang dan sukakan kebebasan sedangkan di sana saya benar-benar berasa terkongkong dengan disiplin sebagai pemain profesional.Mungkin jika saya kekal bersama Dinamo Zagreb, saya mampu memenuhi impian bermain dengan kelab terkemuka Eropah kalaupun bukan Juventus kerana Dinamo memang terkenal sebagai ‘kilang’ yang melahirkan nama-nama besar seperti Luka Modric, Mateo Kovacic dan Mario Mandzukic.

LA BOLA: Adakah kamu berasa kesal bila mengenangkan peristiwa itu?

ARGZIM: Pada saya, semua ini sudah ditentukan Allah, kalau tidak, tak mungkin saya sampai ke sini dan berkahwin dengan gadis Malaysia. Ia sesuatu yang tidak pernah saya fikir atau rancang.

LA BOLA: Sebelum datang ke sini, adakah kamu tahu bagaimana bola sepak Malaysia?

ARGZIM: Jujur, saya tidak pernah ambil tahu walaupun Mehmet sudah lama di sini sebagai pemain dan kemudian jadi jurulatih. Cuma, apabila mendapat tawaran, barulah saya mencari maklumat mengenai negara ini, sudah tentulah orang pertama saya tanya adalah Mehmet yang memberi gambaran sangat positif.PDRM adalah pasukan pertama yang membawa saya ke sini tapi ketika saya masih di peringkat percubaan bersama mereka, Negeri Sembilan pula menunjukkan minat menyebabkan saya berasa serba salah.Sekali lagi saya merujuk kepada Mehmet, kami berbincang serta saling bertukar pandangan dan akhirnya saya memilih PDRM atas dasar menghormati mereka sebagai pasukan pertama yang membuat tawaran. Ternyata saya membuat pilihan tepat.

LA BOLA: Sedikit menyentuh kisah peribadi, bagaimana kamu menemui Fina sehingga membawa kepada perkahwinan?

ARGZIM: Kami bertemu di KLCC, saling menegur dan bertukar nombor telefon dan lapan bulan selepas itu berkahwin. Ia satu hubungan yang mudah dan lancar, saya yakin ia sudah diatur oleh Allah.

LA BOLA: Penerimaan keluarga kamu berdua?

ARGZIM: Bila saya memberitahu ibu bapa saya rancangan saya mahu mengahwini Fina, soalan pertama mereka ‘adakah dia seorang Islam?’ Bila saya jawab ‘ya’ mereka kata teruskan.

FINA: Keluarga saya tidak mempunyai masalah untuk menerima Argzim kerana walaupun berbeza budaya, namun Argzim cepat menyesuaikan diri dengan cara kehidupan kita. Contohnya, dia tidak kekok untuk duduk bersila, makan menggunakan tangan malah tekaknya cepat menerima makanan tempatan.

ARGZIM: Ya, saya suka nasi lemak, nasi goreng, sambal tempe dan sekarang jadi hantu durian walaupun pada peringkat awal dulu saya berasa hampir nak muntah kerana tidak tahan bau durian.

LA BOLA: Berbalik kepada bola sepak, selepas gagal ke Juventus, apakah impian kamu sekarang?

ARGZIM: Allah menentukan rezeki dan jodoh saya di sini, seboleh-bolehnya saya mahu terus bermain di sini dan menjadi impian saya untuk mewakili pasukan Malaysia sebagai pemain naturalisasi. Untuk itu, saya perlu bermain sekurang-kurangnya tiga tahun lagi di sini.Saya juga menyimpan impian mahu melihat anak kami bermain untuk negara ini pada suatu hari nanti. Saya akan menghantarnya ke akademi bola sepak terbaik dunia dan pulang mewakili Malaysia.

LA BOLA: Siapa pemain Malaysia yang paling kamu kagumi?

ARGZIM: Safawi Rasid. Dia mempunyai bakat yang sangat luar biasa dan boleh pergi jauh. Saya juga sangat mengagumi Shukor Adan kerana pada usianya sekarang, dia masih hebat.

Foto: PDRM FA/ Album peribadi Argzim