KFA Tunggu Dua Pemain Ini

ALOR SETAR: Pasukan Kedah masih menunggu kepulangan pemain importnya, Renan Alves dan Amin Nazari yang terkandas di luar negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lalu.

Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak berkata, dua pemain berkenaan dijangka kembali bersama pasukan dalam tempoh terdekat selepas urusan kemasukan mereka yang diuruskan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mendapat kelulusan.

“Alves sedang menunggu keputusan ujian calitan di Brazil sebelum dapat memasuki semula Malaysia. Begitu juga Amin Nazari dan seorang lagi pemain kuota Asia warga Filipina.

“Saya jangkakan Renan Alves akan kembali ke Kedah pada minggu depan manaka Amin mungkin lebih awal,” katanya ketika ditemui di Stadium Darul Aman.

Aidil sebelum ini turut menjalani ujian calitan di negara asalnya, Singapura sebelum dibenarkan memasuki Malaysia bagi menyambung tugas.

Skuad Lang Merah mendapat kebenaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengadakan latihan fasa satu pada Selasa lalu dan sudah memulakan latihan tanpa sentuhan secara tertutup di Stadium Darul Aman sehari selepas itu.