Kenapa Cheng Hoe takut

Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe telahpun memberi jawapan mengapa Ahmad Hazwan Bakri menjadi pilihan untuk dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan bagi persiapan menentang Jordan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dan juga pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula bulan depan.

Antara alasan oleh pengendali itu adalah ketandusan striker tempatan selain menganggap Hazwan masih striker terbaik dalam negara meskipun merupakan pemain simpanan di Johor Darul Takzim dan kurang minit bermain.

Jika dilihat pada senarai, Tan Cheng Hoe sudah sedia mempunyai rangkaian Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Shahrel Fikri Fauzi, Norshahrul Idlan Talaha dan Hadin Azman di barisan depan selain turut mempunyai kelibat Jafri Firdaus Chew dan Syafiq Ahmad yang boleh beraksi sebagai striker sokongan.

Lebih penting, kesemua mereka mempunyai minit bermain yang sangat jauh lebih tinggi berbanding Hazwan, jadi kudrat Pemain Paling Bernilai 2016 pada hakikatnya tidak pun diperlukan.

Jika Cheng Hoe mahu bereksperimen atau ketandusan striker adalah alasan yang diberi, ramai berpendapat lebih baik dia memanggil penyerang skuad bawah 18 tahun negara yang semakin mencipta nama, Luqman Hakim Shamsuddin.

Luqman Hakim wajar diberikan peluang – sejak menyerlah di Kejuaraan AFC B-16, pemain ini terus mencipta sensasi dan dilabel mempunyai masa depan yang cukup cerah.

Apakah faktor umur Luqman Hakim yang berusia 17 tahun 5 bulan menjadi kebimbangan Cheng Hoe? Bukankah Cheng Hoe sendiri melaungkan mahu membawa angin perubahan, maka kenapa takut untuk mencuba sesuatu yang baru dan memperkenalkan kelainan.

Usia Luqman Hakim yang terlalu muda sepatutnya tidak menjadi masalah. Dia memiliki potensi luar biasa dan membuka mata ramai dengan penampilan bertenaga dan mempunyai material yang diperlukan untuk berada di dalam skuad senior.

Cheng Hoe boleh melihat kepada Wayne Rooney dan Theo Walcott – dua bekas bintang England yang membuat penampilan sulung mereka di pentas antarabangsa bersama skuad senior England pada usia 17 tahun.

Wayne Rooney berusia 17 tahun 111 hari ketika dia masuk sebagai pemain gantian dalam aksi England menentang Australia pada 12 Februari 2003 dan tujuh bulan kemudian dia meledak gol antarabangsa pertama ketika England menewaskan Macedonia – ketika itu dia baru berusia 17 tahun 317 hari.

Sejak itu dia telah bermain mewakili England di pelbagai pertandingan termasuk Piala Dunia 2006, 2010 dan 2014 sehingga dilabel antara pemain paling berjaya dalam bolasepak England malah menoktahkan karier antarabangsa sebagai kapten.

Walcott pula memecahkan rekod Rooney sebagai pemain paling muda menyarung jersi England apabila meraih kap sulung dari Sven Goran Erikson pada usia 17 tahun 75 hari. Lebih menarik, pada usia semuda itu, bekas pemain Arsenal yang kini bermain bersama Everton ini disenaraikan dalam skuad Piala Dunia 2006.

Jika Erikson menjadikan reputasi atau pengalaman lampau sebagai sandaran, maka mungkin nama Walcott tenggelam di belakang nama-nama yang lebih berprofil tinggi ketika itu seperti James Beattie, Robbie Fowler, Darren Bent, Andrew Johnson, Dean Ashton, Jermain Defoe ataupun Andy Cole.

Kalaupun Cheng Hoe merasakan ia terlalu awal untuk menghadiahkan kap senior kepada Luqman Hakim, sekurang-kurangnya dia boleh dipanggil untuk menjalani latihan bersama pemain senior lain dan memberikannya pendedahan sepertimana dilakukan negara jiran, Indonesia, yang memanggil Amirudin Bagus Kahfi (penyerang skuad B-18 Indonesia) untuk berlatih bersama skuad senior mereka.

Jika dia buat silap, maka inilah masanya untuk dia belajar dan menjadi seorang pemain yang lebih matang. Perlu diingat tempat di dalam skuad kebangsaan adalah mahal, ia tidak boleh sewenang-wenang diberikan kepada seseorang pemain yang kurang menyerlah, apatah lagi seorang pemain simpanan.

Sepertimana ditekankan Cheng Hoe, Hazwan Bakri adalah penyerang berkualiti, itu perlu diakui, tetapi jika mendapat minit permainan yang cukup sudah pasti tiada siapa akan mempertikai pemilihannya.

Cheng Hoe sepatutnya tidak mewujudkan tanggapan atau indikasi bahawa tanpa perlu bermain dan bekerja keras, seseorang itu boleh menjadi pemain kebangsaan hanya kerana bersandarkan kepada hebatnya pemain itu beberapa musim lalu.

Apa sekalipun, ditolak nama Hazwan Bakri serta beberapa pemain lain yang menjadi pertikaian, skuad disenaraikan Cheng Hoe untuk pusingan kelayakan nanti dilihat mempunyai kualiti justeru adalah menjadi harapan semua agar mereka dapat menyerlahkan potensi dan menjadi antara pencabar terkuat di Kumpulan G yang menemukan mereka dengan Thailand, Vietnam, Indonesia serta Emiriah Arab Bersatu.

Foto : Sportflex Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *