Kelab Gergasi tawarkan untuk dapatkan Sterling

Real Madrid bersedia untuk menawarkan tawaran mega kepada Manchester City untuk mendapatkan pemain sayap pasukan itu, Raheem Sterling.

Memetika laporan portal berita antarabangsa, Real bersedia membelanjakan sejumlah wang termasuk menawarkan Gareth Bale kepada City untuk membawa masuk Sterling ke Santiago Bernabeu pada jendela perpindahan akan datang.

“Real ketika ini sangat terdesak untuk membawa masuk pemain yang berkualiti bagi memperkuatkan jentera serangan mereka. Beberapa pemain dalam buruan pasukan itu termasuk Sterling.

“Namun, Real menyedari sukar untuk membawa masuk pemain itu dan atas sebab tersebut mereka menawarkan perpindahan lumayan termasuk Bale kepada City,” kata laporan itu.

Sterling ketika ini berada pada prestasi terbaik dengan persembahan menakjubkan dengan telah menjaringkan 13 gol dan lima bantuan gol dalam 15 penampilan terakhirnya buat City.

Real akan meneliti lebih lanjut prestasi pemain berusia 24 tahun itu sebelum memutuskan tawaran sesuai, namun anggaran awal wang yang sanggup dibelanjakan gergasi Sepanyol itu adalah sekitar £70 juta (RM375 juta).

Sebelum ini, Real pernah cuba mendapatkan Sterling pada musim lalu, namun tawaran yang diberikan tidak cukup untuk memuaskan hati City dan Sterling.

“Presiden Real, Florentino Perez juga sedar bahawa perbincangan awal perlu segera dilakukan dengan Sterling kerana risau harganya akan terus naik selepas ini.

“Di sisi lain, pengendali City, Pep Guardiola diyakini tertarik untuk bekerja sama dengan Bale apatah lagi pemain Wales itu juga dilaporkan mahu segera meninggalkan Real. Sterling juga pernah menyuarakan hasrat untuk bermain di Liga Sepanyol,” kata laporan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *