Kalonda serah bukti pada FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia  mengesahkan calon pemain naturalisasi dari Republik Congo, Marcel Kalonda sudah menghantar dokumen rasmi berhubung latar belakang dirinya selepas tempoh dua minggu berakhir semalam.Bagaimanapun, seorang lagi calon iaitu Harry Edge yang kini menetap di Sweden memutuskan untuk kekal di sana dan meneruskan kariernya di Eropah.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya menerima kerjasama cukup baik daripada kedua-dua pemain itu biarpun Edge terpaksa menangguhkan dahulu hasratnya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.Jelas Yusoff, Kalonda yang kini beraksi dengan kelab Zesco United dalam Liga Zambia sudah mengemukakan dokumen yang diperlukan bagi membuktikan dirinya mempunyai hubungan dengan negara ini.Daripada dua pemain, hanya seorang iaitu Kalonda saja yang menghantar dokumen kepada kita, manakala Edge meminta untuk terus beraksi di Eropah.

Tetapi Edge tak kata dia menolak terus, cuma dia nak fokus dahulu dengan kelabnya di Sweden dan akan kembali di masa depan. Kita menyambut baik respon daripada kedua-dua pemain berkenaan yang memberi kerjasama, katanya kepada Arena Metro, semalam.

Begitupun, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menegaskan dokumen yang dikemukakan oleh Kalonda masih tidak lengkap dan pemain pertahanan tinggi lampai itu diberikan tempoh lanjutan selama dua minggu lagi bagi melengkapkannya.

Cuma dokumen yang dia  hantar masih banyak lagi yang perlu lengkapkan. Kita bagi tempoh kepadanya sekurang-kurang dua minggu lagi.Tapi dia memang bersemangat nak mewakili negara dan walaupun tak lengkapkan kita akan bagi masa buatnya. Kalau langsung dia tak bagi itu lain cerita, mungkin kita dah tutup peluang, katanya.Sebelum ini, Edge dan Kalonda meluahkan hasrat menyarung jersi kebangsaan dengan kedua-duanya mengakui memiliki darah Malaysia.Bapa Edge didakwa dilahirkan di Melaka dan dia kini beraksi dengan kelab Sweden, Torslanda IK dalam divisyen dua, manakala Kalonda pula mendakwa datuknya berasal dari Sabah.

Ekoran pengakuan kedua-dua tonggak pertahanan itu yang didedahkan oleh Arena Metro bulan lalu, FAM menerusi Jawatankuasa Program Naturalisasinya segera menghubungi dan sedia membawa pulang ke tanah air sekali gus memperkuatkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.