Kalau Nak Sila Bayar Pampasan

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan meletakkan tanda harga, kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), untuk mewakili pasukan masing-masing pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pelaksanaan berkenaan akan dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan.

Katanya, ia bagi memastikan pasukan atau kelab yang berminat untuk mengambil pelatih AMD tidak lagi boleh menggunakan ‘jalan belakang’ sebaliknya perlu melalui pengurusan akademi terlebih dahulu dengan membuat pembayaran tertentu.

“Pembayaran berkenaan bertujuan memastikan AMD mempunyai dana tambahan bagi merangka lebih banyak lagi program pembangunan bola sepak akar umbi selain menambah beberapa keperluan di akademi berkenaan.

“Kita sudah bincang dan bentangkan di mana ada skema yang disediakan oleh Persekutuan B0lasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pemain pembangunan ini… ia bukan harga jualan pemain tetapi !nsentif pampasan kepada akademi.

“Sebelum ini mereka lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain tetapi kini ia perlu melalui akademi.

“Insentif ini adalah suatu pampasan bagi akademi yang berusaha membangunkan pemain itu dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu pula,” katanya, ketika ditemui pada Final Piala Supermokh, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, berkaitan harga yang akan dikenakan nanti bergantung kepada ketetapan garis panduan FIFA namun tidaklah membebankan pasukan atau kelab nanti.

“Kami tidak mahu menetapkan harga yang terlalu tinggi kerana perkara penting adalah pelatih dapat kembangkan bakat mereka ke peringkat lebih tinggi termasuk bermain bersama pasukan tempatan atau luar negara,” katanya.