KALAU JUN BARU NAK SAMBUNG, LEBIH BAIK BATALKAN SAHAJA LIGA MALAYSIA

Jika bulan Jun baharu boleh sambung semula liga, lebih baik batal sahaja liga dan mula liga baharu pada tahun depan sebagaimana Sukan Olimpik kerana kesannya cukup besar kepada semua yang terlibat, lagi pun liga baharu saja bermula. Itu pandangan bekas pengendali Uitm FC, Ismail Zakaria dengan mengambil kira beberapa faktor sambil mengharapkan Malaysian Football League dapat membuat keputusan lebih awal berhubung perkara itu sebagai langkah persediaan buat persatuan negeri dan kelab.

Impaknya bukan saja menyebabkan pemain kurang cergas kerana terlalu lama berehat daripada melakukan latihan yang konsisten, malah akan berlakunya risiko kecederaan kepada pemain selain mereka penat kerana terpaksa melalui jadual padat dalam seminggu dengan perlawanan liga dan Piala FA.Keadaan ini juga sudah pastinya memeningkan kepala jurulatih untuk mengembalikan semula rentak permainan pasukan kerana rehat panjang sekali gus aksi tidak berkualiti bakal disajikan pemain.Selain itu ia turut memberi kesan kepada penaja yang sebelum ini sudah pasti mahukan pulangan yang terbaik kepada mereka apatah lagi saya jangkakan penonton akan berkurangan kerana bimbang penularan wabak Covid-19.

Justeru lebih baik MFL dan FAM sebagai badan induk boleh memikirkan kaedah terbaik termasuk membatalkan liga musim ini jika berlangsung lewat bagi membendung penularan pandemik itu, kata Ismail kepada Berita Harian.Sebagai rekod, pertandingan-pertandingan di bawah kelolaan MFL adalah Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran manakala FAM pula menguruskan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League.Kesemua pertandingan itu telah ditangguhkan sejak 16 Mac lalu susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.

Foto kredit : Vocket FC