Kalau bubar pemain macam mana?

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Terengganu (PBPBT) meminta kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memikirkan semula kemungkinan skuad Terengganu FC II (TFCII) dibubarkan musim depan kerana langkah berkenaan boleh merugikan pembangunan bola sepak negeri.

Presidennya, Mat Sedek Wahab berkata, jika PBSNT meneruskan hasrat itu ia bukan saja menghalang pemain berbakat untuk mengembangkan karier mereka bersama pasukan negeri kelahiran, malah anak muda berkenaan juga mungkin hilang punca pendapatan mereka.

“Secara jujurnya kami bekas pemain bola sepak Terengganu tidak setuju jika pasukan TFC II ini dibubarkan walaupun skuad itu bakal beraksi dalam saingan Piala FAM musim depan selepas menduduki tangga tercorot Liga Perdana musim ini.

“Sebaliknya kami mencadangkan skuad yang terkenal dengan nama T-Team itu perlu diperkasa bagi memastikan pembangunan sukan bola sepak di Terengganu khususnya dalam melahirkan pemain berkualiti di peringkat negeri dan negara terus berkembang baik,” kata Mat Sedek.

Sebelum ini kerajaan negeri membayangkan skuad yang melalui penjenamaan semula dan diberi nafas baharu pada awal musim ini itu berkemungkinan akan dibubarkan selepas gagal mengekalkan kedudukan dalam carta Liga Perdana musim depan.

Bagaimanapun nasib sebenar skuad yang kini beraksi dalam Piala Cabaran itu akan diputuskan PBSNT dalam mesyuarat pengurusan persatuan berkenaan pada esok yang dijangka akan dipengerusikan Menteri Besar Terengganu yang juga presiden baharu PBSNT, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengulas lanjut, bekas pertahanan kental skuad Penyu era 90-an itu juga mengharapkan PBSNT perlu memantapkan lagi pengurusan pasukan termasuk melantik seorang pengarah teknikal bagi memastikan perjalanan skuad itu lebih berkualiti dan tersusun.

“Bola sepak dulu dan sekarang adalah berbeza, oleh itu kami cadangkan PBSNT perlu  melantik pengarah teknikal untuk membantu pasukan selain skuad itu dikendalikan bekas pemain Terengganu dan pemain yang berada dalam skuad itu adalah anak kelahiran Terengganu yang masih muda baharu ada jati diri,” kata Mat Sedek.

Sebelum ini mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan  jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyuarakan pandangan sama agar skuad itu dikekalkan biarpun beraksi dalam saingan Liga FAM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *