Kafa Terima Banyak Kecaman

Sekali lagi Kelantan menjadi trending dek kerana masalah kewangan. Jika sebelum ini didedahkan masalah tunggakan gaji pemain seperti skuad remaja, kini masalah lebih besar telah tiba – tunggakan gaji pemain import mereka pada musim 2018 dan 2019.Semua sedia maklum bagaimana Pulau Pinang telah menerima kesan akibat masalah yang sama melibatkan pemain import sehingga memberi kesan kepada promosi mereka ke Liga Super 2020. Natijahnya, Pulau Pinang ‘membatu’ di Liga Premier.Pemain tersebut adalah pertahanan tengah, Cassio de Jesus yang telah membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa . Baru-baru ini, badan induk bola sepak dunia itu telah mengarahkan Kelantan menjelaskan tunggakan gajinya.FIFA memberikan tempoh 30 hari bermula 23 April lalu untuk Persatuan Bolasepak Kelantan bagi menjelaskan gaji tertunggak tersebut yang berjumlah RM629,620.28 dan berisiko untuk digantvng sekiranya gagal untuk berbuat demikian.

Kelantan Derma
Kelantan derma

Oleh yang demikian, KAFA telah melancarkan kutipan derma atas talian demi menyelamatkan persatuan itu kerana pandemik COVID-19 yang sedang melanda ketika ini menyebabkan pihaknya tidak ada cara lain untuk mendapatkan dana.Tinjauan di posting-posting berkaitan masalah ini dan juga kutipan derma yang dilancarkan menyaksikan pelbagai komentar para penyokong Kelantan dan pasukan-pasukan lain. Ada yang membantu, malah ada yang merasakan ‘cukup-cukuplah’.Tunggakan gaji merupakan antara barah dalam bola sepak Malaysia selain isu bookie. Ia juga isu global tetapi di Liga Malaysia, saban musim kita akan mendengar isu ini dan tidak nampak penambahbaikkan daripada pasukan-pasukan yang terlibat.Atas sebab itulah, ada yang berpendapat yang perkara pokok tidak akan selesai sekiranya membantu KAFA waktu ini. Bagi mereka, persatuan akan meminta bantuan derma dan buka tabung, setiap kali masalah ditimbulkan oleh persatuan.

Siapa yang membuat keputusan mengambil pemain import dan mengetepikan bakat tempatan? Siapa yang pilih pemain import diluar kemampuan kewangan persatuan? Itulah antara persoalan yang telah ditimbulkan oleh para penyokong.Bukanlah tiada sifat empati atau simpati dengan nasib yang diterima mereka ketika ini, tetapi mungkin sudah ada segelintir yang mula muak dengan senario sebegini sehingga terbit perkataan seperti ‘kuburkan sahaja Kelantan’ dan ‘biar kena g@ntung’.Ada juga penyokong yang menitipkan pesanan buat KAFA supaya mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan ada juga yang turut menghulurkan bantuan kewangan termasuklah penyokong daripada pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia.Bagi yang ingin menghulurkan bantuan,bolehlah rujuk artikel ini. Diharapkan KAFA akan dapat menyelesaikan masalah ini, disamping jika derma tersebut melebihi daripada apa yang dimahukan, selesaikanlah juga tunggakan-tunggakan gaji lain.

KREDIT FEATURED IMAGE: KELANTAN FA