KAFA Mahu Restart Semula

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengadakan perbincangan dengan semua pemain dan bekas pemain pasukan itu berhubung isu pembayaran gaji dalam situasi kantung kewangan persatuan terbabit kritikal ketika ini.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman, berkata perbincangan itu untuk penjadualan semula hutang supaya lebih fleksibel dari segi masa dan jumlah hutang yang ditanggung oleh KAFA.

Jika persetujuan dicapai dalam perbincangan itu, isu hukvman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan timbul.

Sebelum ini KAFA telah mencapai kesepakatan dengan pemain melalui kaedah pengurangan jumlah bayaran dan tempoh pembayaran dalam ansuran kepada pemain, katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan KAFA mempunyai masa tidak sampai sebulan untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan mereka bagi mengelak hukuman daripada FAM.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan KAFA perlu memastikan tiada masalah pembayaran tunggakan gaji seperti dipersetujui antara pihak terbabit dan pemain atau pegawai pasukan sebelum 30 Jun ini dan sekiranya gagal tindakan pemotongan mata akan dikenakan.

Husin berkata tuntutan hutang bekas pemain import Kelantan, Cassio Francisco de Jesus dan Bruno Lopez hampir RM800,000 yang perlu dibayar oleh persatuan terbabit kepada kedua-dua pemain yang mana tuntutan itu telah dibawa ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam isu ini kami masih dalam rundingan dan rayuan kepada kedua-dua pemain serta FIFA, katanya sambil menambah pihaknya belum mendapat jumlah hutang pemain tempatan dari Team Red Warri0rs Sdn Bhd, syarikat yang mengurus pasukan Kelantan ketika ini.

Justeru, katanya, KAFA mengharapkan FAM memberi lebih ruang dan masa kepada persatuan untuk menyelesaikan masalah hutang ini dalam keadaan kesukaran untuk mendapatkan sumber kewangan, Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan, ekonomi perniagaan penaja juga terjejas, katanya.Posted in: Sukan