KAFA Berjumpa Badhri Radzi

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan yang menuduh mereka membisu dalam usaha melunaskan tunggakan gaji bekas kapten, yang merupakan legenda pasukan Kelantan iaitu, Mohd Badhri Radzi.

KAFA menyatakan, sebenarnya mereka berusaha pro aktif dalam menyelesaikan isu tersebut dan ada perbincangan dengan pihak Badhri Radzi. Cuma kesepakatan di antara kedua dua pihak masih belum dicapai.

Dipetik dari sumber BH Online, Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, KAFA akan sentiasa berusaha mencari solusi kepada masalah hutang seperti yang sedang berlaku.

Dan beliau juga menyatakan sebelum ini KAFA sudah mencapai kata sepakat dengan seorang lagi legenda Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat.

Beliau berkata kepada BH Online: “Yang Apek (Khairul Fahmi) sudah selesai pagi tadi dan tunggakan itu akan dilunaskan secara ansuran. Dalam hal ini, (luahan Mohd Badhri) saya pun tidak tahu macam mana kenyataan itu boleh keluar.”

“Sebenarnya ada perbincangan cuma buat masa sekarang belum ada kata sepakat. Tetapi kalau dia ada persoalan atau mahu menjelaskan sesuatu, datanglah kepada kami kerana kami sentiasa terbuka untuk cari jalan penyelesaian.

“Jadi saya harap jalan penyelesaian akan dapat dicapai dalam tempoh terdekat.”