Kafa bantu Anak Jati Kelantan Allee ke Malaga City FC

Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada pemain muda Allee Putra Azril, 15, selepas dia sah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Setiausaha Agungnya, Hussin Deraman berkata, pihaknya mengikuti rapat perkembangan pemain yang berasal dari Bachok, Kelantan itu dan sering memberikan khidmat nasihat kepadanya.

Beliau berkata, Kafa juga sedia maklum keluarga pemain berkenaan menghadapi masalah kewangan dan bersedia mencari alternatif supaya impian pemain itu untuk beraksi di pentas lebih tinggi dapat direalisasikan.

“Sebelum ini, ada ahli keluarga pemain berkenaan menghubungi untuk meminta bantuan kewangan dan khidmat nasihat berkaitan Allee untuk beraksi di FC Malaga City.

Kami akan cuba apa yang termampu dengan keadaan sekarang kita tak boleh tolong banyak kerana Kafa juga menghadapi masalah kewangan, katanya ketika dihubungi Arena Metro.Arena Metro semalam melaporkan selepas kejayaan penyerang bawah 19 (B-19) tahun negara Luqman Hakim Shamsudin yang menarik minat kelab Eropah, kini seorang lagi pemain remaja negara berjaya memikat akademi bola sepak di Eropah.

Jika Luqman diburu kelab Belgium dan England, Allee pula sah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City, kelmarin, dan akan menyertai akademi itu untuk musim 2020/2021.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman Twitter akademi berkenaan dengan segala kos latihan, penginapan dan makanan semusim berjumlah €15,750 (RM75,489) ditanggung sepenuhnya akademi itu.

Akademi elit itu mengumpulkan pemain muda dari 35 negara dan banyak mengatur perlawanan dengan akademi profesional terkemuka seperti Real Madrid, FC Barcelona, Atletico Madrid dan Valencia, selain dua kelab terkenal England, Manchester City dan Norwich City.

sumber:HM

Walaupun ia tiada kaitan dengan kelab terkenal Sepanyol, Malaga, akademi itu berjaya memasarkan pemain muda mereka di kelab terkemuka sekitar Sepanyol dan negara Eropah lain.

Antara produk akademi itu termasuk Johan dan Gustavo (Getafe CF), Shem Jiminez (CD Leganés), Flavio Cerone, Kasper dan Diego (Granada CF), tiga kelab dalam La Liga.