Juventus Martabat Tulisan Jawi Pada Jersi,Pasukan Kita Bila Lagi?

Kalau Juventus boleh lakukan, mengapa tidak pasukan di Malaysia yang majoriti pemainnya adalah Melayu.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Radhi Mat Din mengulas isu penggunaan kaligrafi Arab atau Jawi untuk tanda nama pemain oleh pasukan Juventus ketika beraksi pada Piala Super Itali di Riyadh, baru-baru ini.

Keterbukaan kelab gergasi Itali itu mendapat perhatian khususnya di Malaysia ketika isu tulisan Jawi sedang hangat menjadi perdebatan.

Malah, Radhi secara terbuka mencadangkan agar pasukan Liga Malaysia mengikut jejak langkah Juventus dalam usaha membantu memartabatkan tulisan Jawi di negara ini.

“Sebanarnya tulisan Jawi bukanlah satu isu, ia hanyalah huruf atau tulisan yang tidak ada kena mengena dengan anutan atau kepercayaan agama sebagaimana kita mempelajari tulisan dan bahasa Mandarin atau Tamil.

“Ia adalah warisan orang Melayu yang cuba dipertahankan. Ia bukan bersifat rasis atau keagamaan tapi masalahnya, ada pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri sudah menjadikan tulisan Jawi sebagai isu besar.

“Saya tidak nampak sebarang masalah dalam hal ini. Ronaldo dan Juventus sudah buktikan penggunaan huruf Jawi pada tanda nama mereka tidak membawa sebarang implikasi sama ada pada mutu permainan mereka atau kepercayaan agama mereka.

“Kalau Juventus boleh lakukannya, saya tidak nampak sebab mengapa pasukan-pasukan di Malaysia tidak mampu mencontohi kelab itu.

“Kelab atau pasukan khususnya Kelantan dan Terengganu mungkin boleh menjadi perintis kepada penggunaan tulisan Jawi pada nama pemain pasukan mereka,” kata Radhi.

Rodly Fadly/ Foto: Juventus FC