Jurulatih Thailand tak mahu ambil ‘port’

Kemenangan 2-1 Thailand ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) saingan peringkat Kumpulan G pada bulan lalu langsung tidak dihiraukan oleh pengendali Thailand, Akira Nishino.

Malah bekas pengendali yang membimbing skuad kebangsaan Jepun pada kejohanan Piala Dunia 2018 lalu menganggap ianya sudah menjadi sejarah sepertimana kekalahan 1-2 pasukan tuan rumah, Malaysia kepada UAE pada saingan yang sama, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dan menjelang perlawanan yang berlangsung esok, Akira lebih suka memberikan tumpuan penuh kepada persiapan pasukannya di samping memastikan pemain-pemainnya memberikan komitm3n penuh pada setiap perlawanan.

Untuk layak ke pusingan seterusnya, kita perlu berikan yang terbaik, tidak kiralah (keputusan) di mana Thailand telah mengalahkan UAE atau Malaysia tewas kepada UAE, 

“Saya lebih suka tumpukan perhatian kepada pasukan sendiri dan perlawanan demi perlawanan untuk dapatkan keputusan yang baik.” kata Akira dalam sidang media yang berlangsung tengah hari tadi.

Pada masa yang sama, pengendali berusia 64 tahun ini menegaskan skuad Thailand masih berada dalam fasa memperbaiki pasukan dan sedang menerapkan sedikit demi sedikit falsafah permainan yang dimahukannya.

“Bukanlah satu tugas yang mudah dan ianya mengambil masa untuk menerapkan falsafah (yang dimahukan) kepada pasukan, ada beberapa perkara yang pemain perlu menyesuaikan diri mengikut apa yang saya mahukan, dan itulah yang kami cuba lakukan hari demi hari.” tambahnya lagi.

Akira Nishino dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand pada awal julai lalu menggantikan Milovan Rajevac yang dipecat pada awal tahun ini.

Setakat ini, beliau telah membimbing Thailand dalam empat perlawanan dengan catatan rekod dua kemenangan dan dua seri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *