Jurulatih Tempatan Harus Belajar Tambah Ilmu – Shebby

KUALA LUMPUR: Liga Malaysia (Liga M) adalah pasaran yang terbuka!

Oleh sebab itu, pemerhati bola sepak, Serbegeth Singh menganggap sukar untuk menyekat keinginan mana-mana pasukan Liga M daripada mencuba angin baharu dan mendapatkan jurulatih import untuk mengendalikan pasukan masing masing.

Bagaimanapun Serbegeth yang mesra disapa Shebby itu mengharapkan ‘kebanjiran’ jurulatih asing sama sekali tidak akan melemahkan semangat jurulatih tempatan daripada terus belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan.

Liga M adalah pasaran terbuka. Jadi jurulatih tempatan perlu bersaing dengan jurulatih import. Dengan persaingan yang seng!t seperti ini, sudah tentu pasukan hanya akan memilih jurulatih yang terbaik untuk mengendalikan pasukan mereka.

Jadi, jurulatih tempatan perlu terus bekerja keras dan tambahkan lagi ilmu pengetahuan yang ada. Kalau tiada pasukan sekalipun, jangan berhenti daripada belajar.Mungkin jika tiada peluang di Liga M ataupun untuk liga di luar negara, mereka boleh mencari peluang di tempat lain yang sesuai dengan bidang kejurulatihan contohnya di sekolah sukan ataupun akademi bola sepak.

Pihak berkaitan pun perlu membantu juga jurulatih tempatan kita. Sebagai contoh, mereka boleh bermula di sekolah sukan. Kalau pemain daripada usia muda sudah mendapat tunjuk ajar jurulatih profesional, pasti ia memberi impak yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Satianathan meluahkan kebimbangan dengan nasib jurulatih tempatan untuk mendapatkan tempat dalam kancah bola sepak tempatan

Ia selepas kebanyakan kelab Liga M ketika ini dilihat lebih cenderung mengambil jurulatih asing untuk membimbing pasukan mereka.Sathianathan menjelaskan, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana kelab mempunyai hak untuk melantik siapa sahaja jurulatih yang diinginkan.

Ketika ini, antara pasukan Liga M yang menggunakan jurulatih import adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Selangor, UiTM FC dan Sabah.