Jurulatih Liga M Bagai Cacing Kepanasan

JURULATIH Liga Malaysia dijangka bakal `kepanasan’ jika format baharu yang bakal diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia tetap dilaksanakan sebaik saingan musim ini disambung semula pada awal September.

Jurulatih bola sepak berpengalaman, Ismail Zakaria berkata, ini kerana setiap pasukan bertanding hanya mempunyai baki tujuh perlawanan untuk diharungi sebelum saingan liga musim ini berakhir sekali gus menobatkan juara baharu.

Pada saya, jurulatih pasukan terutama yang berada di kelompok bawahan liga sudah pasti mula kepanasan memandangkan semua pasukan hanya mempunyai baki tujuh perlawanan sahaja lagi sebelum dapat menentukan nasib mereka sendiri.

Malah bagi saya bukan hanya jurulatih, tapi tempiasnya juga akan turut dirasai barisan pengurusan pasukan dan pemain. Tidak keterlaluan kalau dapat saya rumuskan, mereka pasti tertekan dengan bebanan tidak dapat tidak, perlu diharungi sekiranya format baharu MFL menjadi kenyataan, katanya.

Seharusnya Liga M adalah sukan yang menggembirakan semua pihak termasuk peminat dan pemain serta pihak pengurusan. Tetapi jika benar-benar berlaku, ia bagaikan berita buruk kepada semua. Ini belum lagi dilihat daripada sudut kualiti permainan.

Pada saya jika liga hanya disambung pada pusingan pertama, hasrat jurulatih dan peminat untuk melihat aksi menarik dan menghiburkan tidak akan menjelma kerana kualiti pemain bagaikan hilang bisa serta hilang rentak kerana sudah terlalu lama berehat.

Untuk bangkit kembali mereka memerlukan antara empat hingga lima perlawanan kelas A.

MFL sebelum ini mengumumkan saingan Liga M musim ini dirancang disambung pada 1 September dan berakhir sehingga penghujung bulan. Ia hanya akan diadakan sebanyak satu pusingan tanpa kehadiran penonton.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *