Jersi Perak FC Dipolitikkan

Ketika kebanyakan penyokong Perak menghadapi masalah untuk menyelesaikan pembelian jersi baharu Perak FC, ADUN Bota Khairul Shahril Mohamed telah dituduh menyalah gunakan kedudukannya selaku Ahli Lembaga Pengarah pasukan tersebut.

Dalam satu hantaran Khairul di Facebook, beliau telah menawarkan diskaun 20 peratus bagi pembelian 1,000 helai jersi musim 2021 khas kepada pengundi-pengundi Parlimen Parit meliputi DUN Bota dan DUN Belanja.Kebanyakan komen mengatakan mereka sukar untuk akses ke laman web bagi pembelian jersi keluarga Kaki Jersi tersebut terutamanya bagi mereka yang mahu mendapatkan kotak khas.

 

Tindakan Khairul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri tersebut jelas tidak profesional kerana membenarkan sebahagian penyokong menggunakan ‘pintu belakang’ bagi mendapatkan jersi keluaran pertama.

Malah apa ertinya ‘penswastaan’ sekiranya beliau selaku pemimpin kerajaan negeri boleh menggunakan kedudukannya dalam pasukan untuk melakukan perkara sedemikian?Sekiranya beliau mengatakan jumlah diskaun 20 peratus tersebut ditampung menggunakan wangnya sendiri, namun dengan mendapatkan 1,000 helai jersi tersebut di luar prosedur biasa sudah dianggap satu perkara yang tidak boleh diterima.

Ada juga yang mengatakan perkara seperti inilah yang menjadi punca tiket perlawanan final sering ‘lesap’ tidak dijual di kaunter tiket walaupun penyokong setia telah beratur panjang dan kemudiannya diketahui ia diberikan kepada pengundi-pengundi di kawasan tertentu.

sumber:semuanyabola

Perak FC sebelum ini juga teruk dikritik ekoran isu logo sehingga mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.Baginda bertitah bahawa bola sepak merupakan sukan rakyat dan menasihatkan agar diadakan pertandingan mereka cipta logo baharu yang dibuka penyertaannya kepada seluruh rakyat negeri Perak.