JDT, Selangor sambar ‘ubi muda’

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masing-masing menyambar seorang pemain muda daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Menurut laporan Stadium Astro, dua pemain tersebut ialah Umar Hakeem Suhar Redzuan dan Ahmad Zikri Mohd Khalili. Kedua-dua mereka juga merupakan pemain skuad kebangsaan bawah 18 (B-18) tahun negara bimbingan Brad Maloney.

Umar Hakeem, pemain yang sering mengisi posisi wing back kiri skuad B-18 negara sudah menarik perhatian JDT sekitar tiga bulan lalu sejak membantu pasukan kebangsaan mara ke saingan akhir kempen Piala AFF B-18 di Vietnam.

Difahamkan, pemain ini akan menandatangani kontrak bersama skuad Harimau Selatan selepas daripada tamatnya saingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-19, yang akan berlangsung di Kemboja bermula sabtu depan.

“JDT merupakan satu pasukan yang kukuh. Satu (faktor) lagi ialah TMJ (Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), yang amat bersemangat untuk membangunkan bola sepak di negeri itu.

“Jadi, saya rasa lebih baik menyertai pasukan yang banyak mengambil ilmu dari luar negara,” kata Umar Hakeem Suhar Redzuan seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Bagi Ahmad Zikri Mohd Khalili pula, beliau mengakui turut mendapat minat daripada JDT dan juga Pahang. Bagaimanapun, pemain pertahanan ini membuat pilihan untuk menyertai Selangor bagi memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama.

“Benar, JDT mempunyai fasiliti yang lebih baik tetapi saya memilih Selangor kerana mereka lebih berminat untuk mendapatkan saya.

“Saya juga memikirkan mengenai minit permainan dan saya rasa dengan memilih Selangor, permainan saya akan lebih cepat matang,” kata Ahmad Zikri Mohd Khalili.Posted in: SUKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *