Jatt, Noorshila Amin, Wann akhirnya makan pujuk

Pejam celik, program realiti nyanyian Gegar Vaganza (GV) sudah memasuki musim keenam pada tahun ini. Seperti musim-musim terdahulu, peminat ternanti-nanti apa lagi kejutan yang dibawa oleh GV6.

Kali ini, GV6 membuat sedikit perubahan apabila menambahkan jumlah peserta lebih seorang menjadi 13 berbanding 12 orang seperti kebiasaannya.

Antara nama besar yang dilihat akan memberi saingan hebat dalam gelanggang GV6 bermula 13 Oktober ini ialah Jatt, vokalis kumpulan Black Dog Bone, Noorshila Amin dan juga Wann di samping penyanyi bersuara emas, Roy.

Nama-nama lain yang turut terpilih kali ini ialah Mazleela, Feeza, One Nation Emcees, Sham Visa, Nurfatima, Naqiu Boboy, Ameer Sofazr, Hady Mirza dan Kool.

Bagi Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, dia mencipta rekod tersendiri apabila menjadi peserta paling veteran yang pernah menyertai GV iaitu pada usia 63 tahun.

Ubat rindu

Namun begitu, Jatt tidak pernah berasakan usia sebagai satu kekurangan kerana semangat untuk mengadakan persembahan dan menyanyi masih lagi membara.

“Kalau ikutkan, sudah lama produksi GV meminta saya sertai pertandingan ini, tetapi malangnya jadual agak padat kerana saya bekerja di sebuah kelab di Singapura sebagai penyanyi tetap.

“Tahun ini, apabila produksi GV membuat tawaran sekali lagi dan kebetulan saya mendapat pelepasan daripada pihak pengurusan tempat kerja barulah saya berpeluang muncul di musim keenam,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman GV6 di The Gardens Theatre, The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Jatt, biarpun ada yang beranggapan tarafnya sebagai penyanyi sudah dianggap legenda dan tidak perlu bertanding, pelantun lagu Khayalan itu sebaliknya masih berasakan dirinya anak seni biasa.

“Saya bersetuju untuk menyertai pertandingan ini kerana mahu mengubat rindu peminat. Status legenda itu diberi oleh orang sedangkan saya masih berasa diri sendiri sebagai penyanyi biasa sahaja,” ulasnya lagi.

Bagi penyanyi yang popular dengan teknik suara meneran, Wann atau nama penuhnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid, dia akhirnya bertemu kekuatan untuk masuk ke gelanggang GV selepas bertahun-tahun menolak tawaran menyertai program realiti tersebut.

Kata Wann yang popular dengan lagu Darah Muda, kebimbangannya yang paling utama adalah membawakan lagu penyanyi lain di atas pentas pertandingan.

Elak baca komen

“Saya paling berdebar jika ditakdirkan dapat lagu rap kerana memang tidak pandai langsung untuk rap. Namun, sewaktu bersetuju menyertai GV6, saya juga sudah berjanji akan mencuba sebaik mungkin,” ujarnya yang kini tampil dengan imej berselendang.

Bercakap soal imejnya, wanita berusia 49 tahun itu mengakui dia kini sedang perlahan-lahan ke arah menutup aurat, tetapi tidak mahu melakukannya secara terburu-buru.

“Buat masa sekarang, saya selesa berselendang begini dan apabila membuat persembahan di pentas GV6 nanti, saya sudah tegaskan tidak akan mengubah terlalu banyak gaya sedia ada.

“Saya akan mempelbagaikan stail mengikut keselesaan saya dan juga kesesuaian lagu yang dibawakan kelak,” terangnya lagi.

Sementara itu, pelantun lagu Rambu Ramba, Noorshila Amin sudah bersiap sedia menerima kecaman netizen dengan menugaskan anak-anaknya sebagai pengendali akaun media sosialnya.

Hanya mahu memberi fokus terhadap aura positif sepanjang pertandingan, Noorshila berkata, dia enggan melayan atau membaca kritikan dalam media sosial yang menyakitkan hati.

“Anak-anak akan menapis semua komen dan status yang perlu saya baca. Hal ini kerana, saya tidak suka merosakkan mood sendiri apabila melayan kata-kata negatif orang.

“Zaman media sosial memang begitu, makin dilayan makin menjadi-jadi,” selorohnya sambil tertawa.

Beberapa kali disunting menjadi peserta Gegar Vaganza, hanya pada musim keenam nama-nama senior seperti Jatt, Noorshila Amin dan Wann memberi lampu hijau untuk bersaing dan kembali mengubati kerinduan peminat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *