Jangan Rai Gol Mat Yo

Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) meminta kerjasama daripada semua pemain dalam saingan Thai League agar mematuhi Standard Operation Procedure (SOP) yang telah dimuktamadkan.

Baru-baru ini, FAT telah mengadakan mesyuarat dengan pemegang taruh dimana mereka membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai SOP perlawanan bola sepak dan juga tarikh rasmi saingan liga bola sepak Thailand kembali disambung.

Pengerusi mesyuarat, Leftenan Jeneral Amnuay Nimmano menyatakan pihaknya telah merangka beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh semua pihak dan beliau meminta kerjasama daripada pemain supaya meminimumkan sentuhan ketika hari perlawanan.

Kami telah merangka peraturan tambahan dan meminta kerjasama dari pemain seperti contoh tidak meraikan jaringan gol ketika perlawanan berlangsung. Selain itu, mereka juga perlu meminimumkan atau mengelakkan sentuhan yang tidak perlu.

Kami akan mengadakan mesyuarat lagi pada masa akan datang bagi membincangkan perkara mengenai SOP ini. Setakat ini kami belum memutuskan jenis hukvman jika ada mana-mana pemain atau pasukan yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, katanya menurut laporan SMM Sport.

Saingan Thai League 1 dan 2 akan bersambung semula pada 15 September ini dan akan berakhir pada 15 Mei 2021 bagi T1 manakala 25 April bagi T2. Saingan T3 akan bersambung pada 3 Oktober dan berakhir pada 28 Februari.

Piala FA Thailand akan bermula pada 30 September dan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung pada 22 Mei 2021.