Jangan Cari Masalah – Zaquan

Penye rang Kedah, Zaquan Adha Abd Radzak menyifatkan empat perkara wajib ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu dipatuhi semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebelum memulakan latihan.

Justeru, dia berkata perkara itu tidak boleh diambil mudah semua pasukan semata-mata untuk mengejar tarikh paling awal memulakan latihan kerana ia mungkin boleh mengundang risiko yang tidak diingini.

“Bagi saya, tidak perlulah terburu-buru untuk kita memulakan latihan sekiranya empat perkara itu belum lagi selesai dan sekarang kita pun tahu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlanjutan sehingga 31 Ogos ini.

“Kita ada masa sebulan lebih untuk berlatih mengikut SOP yang betul dan macam Kedah, kami akan mulakan latihan pada 23 Jun. Jadi, pemain dari negeri lain juga ada masa untuk kembali ke Kedah bagi bersedia dan melakukan ujian calitan.

“Kami juga ada lebih masa bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dalam padang manakala daripada segi teknikal pula, mereka juga dapat bersedia dengan lebih baik bagi mempersiapkan apa yang patut sebelum 23 Jun ini,” katanya.

Semalam, BH Sukan melaporkan MFL belum membenarkan semua pasukan memulakan latihan walaupun kelonggaran mengadakan latihan tanpa sentuhan yang diberikan kerajaan bermula, semalam.

Ia susulan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan tiada mana-mana pasukan yang mengemukakan empat perkara wajib termasuk pasukan perlu menghantar keputusan ujian calitan atau swab, melantik pegawai penyeleras pemantau SOP, menamakan pusat latihan tertutup dan mendaftarkan venue terbabit melalui pautan notification.miti.gov.my.

Ab Ghani Hassan turut menjelaskan pihaknya tidak membenarkan pasukan Negeri Sembilan memulakan latihan, semalam walaupun skuad itu mendakwa sudah melakukan semua empat perkara itu.

Ia kerana Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) perlu mengemukakan dokumen berkaitan empat perkara itu untuk penelitian MFL sebelum mereka dibenarkan memulakan latihan