ISU TUNGGAKAN GAJI MELAKA UNITED: “ZAINAL PUN PATUT BERTANGGUNGJAWAB”

Janji demi janji, bulan berganti bulan, Raimi Md Nor akhirnya hilang sabar dengan gelagat Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang masih bermain tarik tali dalam isu tunggakan gajinya.

Hanya tinggal beberapa hari tahun 2019 akan berlalu namun janji Melaka United untuk melunaskan tvnggakan gaji pemain pada bulan Disember belum nampak bayangan dapat dikotakan.

Lebih membuat Raimi bengang apabila dia mendapat tahu beberapa pemain yang berdepan masalah sama tapi masih kekal bersama Melaka United sudah mendapat tunggakan gaji mereka.

“Mengapa berlaku ‘double standard’? Sama ada masih bersama pasukan atau tidak, kami sama-sama memerah keringat untuk Melaka sepanjang musim 2019. Sepatutnya, kami dilayan sama rata.

“Adakah kerana kami sudah tidak bersama pasukan maka mereka menganaktirikan kami dan mengambil mudah soal tunggakan gaji kami?” soal Raimi ketika menghubungi La Bola.

Dalam isu ini, Raimi tanpa berselindung menvding jari kepada jurulatih, Zainal Abidin Hassan sebagai salah seorang yang perlu turut bertanggungjawab.

“Zainal patut bertanggungjawab. Terdapat kira-kira 13-14 pemain terbabit dalam situasi ini. Mereka memberi kami surat menyatakan bayaran akan dibuat dalam bulan Disember tapi sehingga hari ini belum melunaskannya.

“Saya ada menelefon pejabat MUSA untuk bertanya tentang masalah ini tapi pegawai yang menjawab pun tidak berani memberi jaminan bila bayaran akan dibuat,” katanya.

Raimi berkata, dia sudah membuat aduan rasmi kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan akan mengambil tindakan lanjut jika Melaka United masih culas untuk melangsaikan tunggakan gaji itu.

Foto: Melaka United