Ini Penjelasan Dari KFA

ALOR SETAR: Kesukaran yang dialami pihak penaja akibat kesan pandemik COVID-19 yang melanda negara memberi kesan langsung terhadap pembayaran gaji oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) ketika ini.Menurut Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris menerusi laman sosial miliknya awal pagi tadi, penaja memohon penangguhan pembayaran sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama 18 Mac lalu.Malangnya, sebagaimana yang semua sedia maklum, PKP dilanjutkan hingga ke peringkat ketiga dan ini menyukarkan pihak penaja memperjelaskannya kerana perniagaan mereka juga terjejas teruk akibat kekangan ekonomi yang berlaku.

Namun mereka tetap berjanji akan menjelaskan penajaan sebaik PKP tamat dan bagi Kerajaan Negeri Kedah pula, keutamaan harus diberikan setelah menyelesaikan kesemua bajet rangsangan ekonomi serta bantuan keperluan kepada rakyat untuk kos sara hidup yang pada ketika ini tentunya menjadi agenda utama negeri, katanya.

Asmirul berkata, misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan amat penting dengan kerajaan negeri memberi fokus terhadap kepatuhan PKP sehingga setakat ini.Bola sepak sebagai sukan paling diminati di Kedah tidak akan dikesampingkan dan ianya kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian sekiranya pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi.Kerajaan negeri masih mempunyai dana untuk langkah penyelesaian dan segalanya akan diselesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan setelah tamat tempoh PKP ini. InsyaAllah,” katanya.

Mengulas mengenai tiada perbincangan dengan pemain untuk langkah penyelesaian, Asmirul memaklumkan pihaknya masih menanti kata putus Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

Untuk makluman, pihak MFL dan FAM masih lagi belum memberikan kata putus mengenai tarikh akan bermula kembali liga dan setelah bermesyuarat berkali-kali dan keputusan menangguhkan liga juga tiada kata putus serta tarikhnya masih dalam perbincangan yang sentiasa ditangguh dari satu mesyuarat kepada satu mesyuarat yang akan datang.Jadi bagaimana pihak pengurusan di setiap negeri atau badan gabungan di seluruh Malaysia boleh menstruktur kewangan pasukan masing-masing serta mengadakan perbincangan dengan pemain?, katanya.

Menurut Asmirul, sepatutnya FAM dan MFL menjaga kebajikan negeri-negeri selaku badan gabungan ketika negara sedang dilanda pelbagai musibah dan bukan hanya sekadar menjadi perantara kepada sebuah negeri.Jika mereka sendiri gagal mencari kos bantuan untuk menjaga kebajikan negeri yang teruk dilanda musibah apalah sangat keupayaan setiap negeri bersama penaja masing-masing,” katanya.Asmirul juga mempersoalkan kewajaran pihak tertentu untuk campur tangan dalam pengurusan badan gabungan seolah-olah melangkaui FAM dan menyoal tujuan menggembar gembur perkara ini di dalam media.

Saya bercakap bagi seluruh negeri yang terlibat di dalam Liga ini bukan hanya bercakap bagi pihak negeri Kedah. InsyaAllah bermula tampuk pimpinan sejak Mei 2018 sehingga kini, belum pernah Kedah FA gagal melangsaikan gaji pemain dan cuma kelewatan yang berlaku adalah kerana wabak C0VID-19 yang melanda seluruh dunia.Perbincangan dengan pemain akan segera dilangsungkan setelah pihak FAM dan MFL memberikan tarikh terakhir permulaan kembali musim 2020, katanya