Ini Lawan Sebenar kami-TMJ

BERTANDING dalam kalangan kelab Asia yang hebat dan pernah muncul juara Liga Juara Juara (ACL) bukanlah bebanan bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) namun pengiktirafan membanggakan bagi peminat sukan nombor satu tanah air.

Pemilik pasukan JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi temubualnya yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tiger memaklumkan bahawa beliau sedia maklum kelabnya bertemu bekas juara ACL yang mempunyai barisan kejurulatihan yang mantap.

Beliau berkata, kelab dari Korea Selatan Suwon Bluewings FC pernah bergelar juara manakala penyandang dua kali juara Guangzhou Evergrande yang kini dikendalikan oleh legenda Itali, Fabio Cannavaro turut terkenal di pentas Asia sebagai pasukan gergasi.

“Beraksi di pentas ACL adalah satu pengiktirafan terutama bersaing dengan pasukan yang pernah juara dan siapa tak kenal Guangzhou Evergrande iaitu antara pasukan yang membuat pelaburan besar mendapatkan pemain dan jurulatih bagus.

“Perlawanan terbabit memang mencabar namun kita perlu lakukan terbaik dengan membuat perancangan awal.

“Selain itu, kita juga perlu tengok dari segi pengiklanan kerana ia memberi kesan positif kepada pasukan dan pemain di pentas asia,” katanya.

Skuad Harimau Selatan berdepan laluan berliku apabila pasukan itu diundi bersama dua bekas juara dalam kumpulan G saingan Liga Juara Juara (ACL) bagi musim 2020.