Ini adalah jalan terbaik- Presiden Pahang FA

Malaysian Football League MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia FAM perlu menerima hakikat bahawa kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.Justeru, tangguhkan liga tahun ini, kembali dengan semangat dan iltizam baru pada tahun hadapan.Demikian pandangan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menerusi kenyataan disiarkan di laman facebook rasmi pasukan.Menurut Tengku Abdul Rahman, beliau mengikuti rapat pandangan-pandangan dan perbahasan mengenai keberadaan semua pertandingan bolasepak dalam negara sama ada Liga Malaysia, Piala Presiden, Piala Belia mahupun Liga Futsal Kebangsaan yang telah ditangguhkan sejak 16 Mac lalu. Saya percaya semua pandangan yang dilontarkan adalah dibuat di atas semangat keprihatinan dan kebersamaan supaya pihak yang bertanggungjawab di dalam pengendalian bolasepak negara MFL dan FAM dapat membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara.

Tiada siapa yang boleh menjangkakan bila pengakhiran kepada pandemik ini C0vid-19 malah saya difahamkan bahawa pakar-pakar yang terlibat dengan kajian penyakit ini juga menjangkakan penemuan vaksin ini hanyalah dapat diperolehi seawal-awalnya dalam masa 12 bulan. Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga sudah beberapa kali membuat kenyataan untuk tidak menggalakkan perjumpaan dan perhimpunan awam sekurang-kurangnya 6 bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan.Malah kita dikhabarkan Sukan Olimpik 2020 juga telah ditangguhkan dan belum ada kepastian ia dapat dilangsungkan pada tahun hadapan sekalipun.

Justeru itu dengan mengambil kira semua pandangan dan situasi semasa pandemik ini di seluruh dunia termasuk di Malaysia, saya berharap pihak yang mengendalikan bolasepak di negara ini dapat membuat keputusan segera tentang semua kalendar acara bolasepak di bawah pengendaliannya.Kepada pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bolasepak negara, marilah kita bersama-sama menerima hakikat dan kenyataan untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi segala-galanya.Penangguhan semua acara bolasepak untuk tahun ini adalah jalan terbaik yang dapat membendung keresahan dan kegelisahan semua yang terlibat di dalam industri bolasepak negara dan juga anggota gabungan yang bernaung di bawah badan induk bolasepak negara, ujarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan akan merindui suasana kemeriahan di dalam stadium, sorakan penyokong, paluan gendang sehinggalah ke tiupan wisel pengadil.Kita boleh kembali semula tahun hadapan dengan semangat dan iltizam baru untuk terus memeriahkan dan memartabatkan bolasepak negara, tambahnya.Sebagai rekod PBNP adalah ahli gabungan pertama untuk menyatakan secara terbuka pandangan supaya Liga Malaysia 2020 dibatalkan.MFL dan FAM dijangka membuat kenyataan mengenai perkara ini dalam minggu ini.

Foto : Pahang FA