Gol pertama Real ‘lawak jenaka’

MADRID 2 Okt. – Zinedine Zidane menyifatkan gol pertama yang dilepaskan Real Madrid ketika menentang Club Brugge sebagai ‘lawak jenaka’ selepas pasukannya diikat 2-2 oleh kelab Belgium itu dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini.

Juara Eropah 13 kali itu ketinggalan di Santiago Bernabeu hanya selepas sembilan minit perlawanan bermula apabila Emmanuel Bonaventure mudah menolak bola melepasi penjaga gol, Thibaut Courtois.

Pemain Real membantah jaringan tersebut kerana mendakwa ia telah ofsaid, malah penjaga garisan sudah mengibarkan bendera.

Bagaimanapun Video Bantuan Pengadil (VAR) membenarkan gol berkenaan.

Situasi hampir sama berlaku ketika Brugge meledak gol kedua apabila Bonaventure sekali lagi melepasi perangkap ofsaid Real sebelum menewaskan Courtois pada minit ke-39.

Ketinggalan 0-2 di tempat sendiri benar-benar mengecewakan Real yang bekerja keras untuk bangkit sebaik sahaja babak kedua bersambung.

Ketua pasukan, Sergio Ramos merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-55 sebelum Casemiro meledak gol penyamaan lima minit menuju tamat permainan.

“Gol pertama yang kami lepaskan adalah lawak jenaka.

“Babak pertama sangat buruk, kami tidak fokus dan melepaskan gol yang lucu tetapi 45 minit separuh masa kedua sama sekali berbeza,” kata Zidane dalam sidang akhbar.

Bek tengah Real, Ramos senada dengan Zidane bahawa pasukannya melepaskan gol yang melucukan tetapi memuji reaksi yang dipamerkan rakan-rakan sepasukan.

“Keputusan yang buruk tetapi reaksi yang bagus.

“Kami tidak boleh gembira, apatah lagi melepaskan gol pertama yang melucukan.

“Begitupun saya mahu kekal positif kerana pemain telah menunjukkan karakter yang baik di babak kedua,” kata Ramos kepada Movistar.

Selepas kalah 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pembukaan dua minggu lalu, Los Blancos kini menghuni tangga tercorot Kumpulan A. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *