Gajet yang merosakkan sembahyang Jumaat

SEMBAHYANG Jumaat ialah syiar agama Islam yang membawa erti penyatuan umat Islam atau perhimpunan mingguan umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok kawasan dan menuju ke masjid untuk mendengar nasihat agama, seterusnya mendirikan solat dua rakaat sebagai kemuncak penyempurnaan sembahyang Jumaat.
Sirah menceritakan bahawa sembahyang Jumaat pertama didirikan sewaktu dalam perjalanan hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat Muhajirin menuju ke kota Madinah.

Menurut Imam al-Syafie, sembahyang Jumaat fardu Ain dan wajib atas setiap orang Islam yang mukallaf seperti firman ALLAH SWT di dalam al-Quran,“Wahai orang beriman! Apabila diseru (azan) untuk mengerjakan sembahyang Jumaat, maka segeralah kamu menuju ke masjid untuk mengingati ALLAH dan tinggalkanlah urusan jual beli. Hal itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahuinya” (al-Jumuah: 9).

Perbuatan meninggalkannya dengan sengaja berdosa besar dan wajib menggantikannya dengan solat Zohor sebanyak empat rakaat.

Menurut ulama tafsir seperti Syeikh al-Sa’di, al-Kasani dan al-Syaukani bahawa perkataan zikrillah dalam ayat ini antaranya bermaksud khutbah Jumaat yang juga rukun sembahyang Jumaat bagi penyempurnaan ibadat tersebut.

Justeru, hadir dan mendengar khutbah seolah-olah melengkapkan dua rakaat Zohor yang wajib difahami adab dan kaedahnya sama seperti kita mendirikan solat iaitu diam dan khusyuk mendengar khutbah yang disampaikan.

Sabda Rasulullah SAW, “Apabila kamu berkata, “Diam!” sedangkan khatib sedang menyampaikan khutbah, maka sia-sialah kamu” (HR al-Bukhari).

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani bahawa perkataan lagha atau sia-sia dalam hadith ini mempunyai dua maksud iaitu hilang fadilat Jumaat dan sembahyang Jumaat hanya menjadi sembahyang Zohor sahaja. Jumaatnya sah, tidak perlu qada tetapi tiada apa-apa fadilat (pahala) dari sembahyang Jumaat tersebut.

Lihatlah, jika menyuruh orang lain diam sekalipun merosakkan pahala Jumaat maka bayangkan ketika khutbah itu kita berbalas mesej di WhatsApp, membaca perkongsian di Facebook, Instagram dan lain-lain?

Tidak cukup setakat itu, ada Jemaah yang bermain ‘game’ dengan rakan di sebelahnya ketika khutbah sedang berlangsung, ada yang berbual dan bergelak ketawa tanpa rasa bersalah.

Bayangkan apa akan terjadi jika kita bercakap atau membuat bising ketika sedang sembahyang? Sembahyang kita batal dan wajib sembahyang semula.

Maka apa sahaja perbuatan yang menghalang perhatian kepada khutbah, pahalanya terbatal dan sembahyangnya menjadi sia-sia sahaja.

Tanpa kita sedar, hari ini gajet yang dibekalkan dengan talian internet sebenarnya merosakkan ibadat pada hari yang mulia ini sekali gus menjadikan niat, rukuk dan sujud kita hanya mengesahkan rukun sembahyang sedangkan tiada apa-apa ganjaran di sisi ALLAH SWT seperti kata Ali bin Abi Talib RA bahawa, “Sia-sia itu bererti tidak mendapat apa-apa pada sembahyang Jumaat, yakni tidak beroleh kelebihan dari sembahyang yang didirikan dan hilang pahala yang diharapkan”.

Ingatlah, prinsip seorang Muslim ialah melakukan ibadat pada tahap yang terbaik. Ibadat yang terbaik mestilah ibadat yang beroleh pahala dan diterima di sisi ALLAH SWT.

Jika ibadat tadi hanya semata-mata cukup syarat wajib sahaja, maka itu bukan dari ajaran Islam yang berpandukan sumber al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

ALLAH SWT merakamkan perangai orang munafik ketika sembahyang iaitu, “Mereka mendirikan sembahyang dalam keadaan lalai dan hanya mengharapkan perhatian manusia sedangkan mereka sedikit sahaja mengingati Allah” (al-Nisa’: 142).

Kita bimbang sekiranya kita termasuk dalam golongan munafik yang hanya menzahirkan iman sedangkan sebenarnya hati kita lalai dan tidak mengingati ALLAH SWT.

Marilah kita memuliakan hari Jumaat dengan persembahan ibadat yang terbaik. Sesungguhnya ALLAH sangat menyukai hambanya yang melakukan sesuatu perkara dengan kesungguhan (HR al-Tibrani) sehingga kita merasai kepuasan ketika kita sujud, rukuk dan berdoa kepada-Nya.

Awasilah telefon bimbit, tablet dan komputer riba yang bersama kita ketika sembahyang Jumaat kerana alat ini sangat bahaya, ia mampu membunuh pahala sembahyang Jumaat yang kita mengharapkan pahala, maka pastikanlah hari-hari Jumaat akan datang gajet ini tidak lagi menjadi pembunuh pahala dan kelebihan yang kita harapkan.

Kita yang mengubahnya!

FAHIMI ZAKARIA

Centre for Fundamental Studies, MSU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *