FAM masih belum putuskan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan kelab-kelab bola sepak Malaysia bersaing di pentas Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) yang akan bermula musim depan.

Terdahulu, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) telah mengumumkan mendapat persetujuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk mengadakan kejohanan antara kelab-kelab di peringkat asia tenggara.

Kejohanan itu bakal mengumpulkan 12 kelab bola sepak terbaik dalam kalangan negara anggota AFF bersaing untuk merebut ganjaran berupa wang tunai sebanyak 50,000 Dolar Amerika (USD).

Bagaimanapun, menurut laporan The Star, badan pentadbir bola sepak negara, FAM belum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan kelab-kelab berpengkalan di tanah air menyertai ACC selagi mana tidak mendapat maklumat dengan lebih terperinci berkenaan kejohanan ini.

“Daripada perspektif FAM, pertama sekali ACC perlu mendapatkan persetujuan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan selagi mana kami tidak melihat persetujuan dan memastikan proses yang betul diikuti, kami tidak dapat mengesahkan penyertaan,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam seperti dipetik daripada The Star.

“Kami perlu melihat kepada kalendar (perlawanan). AFC telah mengumumkan pertambahan jumlah pasukan Liga Juara-Juara, di mana lebih banyak perlawanan dan pasukan (mengambil bahagian) dan juga terdapat pertalian antara Liga Juara-Juara dan Piala AFC… jika kami tidak tahu mengenai format dan jadual ACC, sukar untuk kami mengesahkan apa-apa perkara.” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, Stuart mengakui kejohanan kelab bola sepak peringkat ASEAN ini merupakan inisiatif yang baik untuk kemajuan sukan bola sepak di rantau ini.

Namun, beliau lebih suka melihat kejohanan ini diisi oleh pasukan-pasukan yang tidak layak ke kejohanan berprestij asia seperti Liga Juara-Juara AFC dan juga Piala AFC.

Sebagai contoh, slot untuk menyertai ACC ini diberikan kepada pasukan seperti Perak dan Melaka yang menghuni tangga ke-5 dan ke-6 saingan Liga Super Malaysia 2019.

“Sememangnya ACC merupakan idea yang baik tetapi selepas diketahui kalendar (perlawanan), peraturan-peraturan dan kelayakan pasukan-pasukan untuk bertanding barulah keputusan dapat dibuat,”

“Adakah pasukan teratas kami bermain dalam Liga Juara-Juara AFC dan ACC pada masa yang sama… jika pasukan berada di kedudukan ke-5 dan ke-6 yang mengambil bahagian dalam saingan ACC, itu sememangnya baik di mana mereka mendapat pendedahan peringkat serantau.” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *