Di Luar Padang Pun Omar Hebat

OMAR Raiyan Kama Azlan, 15, yang dipilih menyertai akademi kelab terkenal Serbia, Red Star Belgrade bukan saja memiliki bakat istimewa bermain bola sepak, malah turut memiliki personaliti hebat di luar padang.

Semakan Arena Metro mendapati, dia juga dikatakan genius matematik, mampu menyelesaikan kiub Rubik dalam tempoh 40 saat, memiliki diploma piano, selain mampu berkomunikasi dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Arab, Perancis dan Serbia.

Dalam bidang sukan, dia juga cemerlang dalam renang malah pernah memenangi anugerah Perenang Terbaik Tahunan selain menyertai sekolahnya dalam pelbagai kejohanan ketika menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dia juga bukan saja terpillih menyertai akademi kelab bola sepak terkemuka Inggeris, Manchester City ketika di negara itu, malah pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan akademi itu selain diiktiraf antara 25 pemain remaja terbaik di UAE.

Bapanya, Kama Azlan Muhammad ketika dihubungi Arena Metro semalam berkata, mereka berhijrah ke Serbia atas faktor kerja dan sudah menetap di negara Balkan terbabit sejak Julai tahun lalu.

Omar terpaksa mengikut berpindah ke Serbia berikutan saya bekerja di negara berkenaan dan ketika itu untuk tidak sia-sia bakat yang dimilikinya menyebabkan saya mencari peluang yang ada untuk anak kedua ini.

Saya ternyata terkejut kerana aksinya ketika sesi pemilihan berjaya memikat barisan kejurulatihan kerana sedia maklum untuk memasuki kelab terbabit bukanlah mudah.

Pada peringkat awal mungkin agak sukar untuknya menyesuaikan diri namun rakan-rakan dan pegawai pasukan banyak membantu dia supaya dapat terus kekal bersaing bersama pemain lain, katanya memberitahu Omar adalah pemain Asia pertama yang menyertai pasukan pembangunan kelab itu.

Kama Azlan yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, anaknya kini dalam usaha mendaftar sebagai pemain profesional seterusnya berpeluang mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi lagi.

Pada masa sama Omar juga menyimpan hasrat dapat menabur bakti bersama skuad kebangsaan kerana itu antara matlamatnya apabila bergelar pemain profesional.

Ketika ini, saya belum lagi mendapat maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkaitan Omar dan berharap mereka dapat membantu membabitkan beberapa perkara, katanya.

Omar kini adalah antara dua pemain muda negara yang mula mengetuk pintu kelab Eropah selepas penyerang sensasi bawah 19 (B-19) tahun kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin ditawarkan kontrak oleh pasukan utama Belgium, KV Kortrijk selain minat daripada kelab EPL, Newcastle United.

Selain itu, dua lagi ubi muda iaitu Allee Putra Azril dan Aniq Asri Nasharudin Elias sah menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.