Dalilah padam rekod dunia kali kedua

DOHA – Atlet Amerika Syarikat (AS), Dalilah Muhammad mencipta rekod baharu dunia acara 400 meter (m) lari berpagar ketika memenangi pingat emas pada aksi final pada Kejuaraan Olahraga Dunia 2019 di Doha awal pagi semalam.

Dalilah merekodkan masa 52.16 saat (s) untuk meleburkan catatan dunia sebelum ini 52.20s yang turut dilakukannya pada Julai lalu.

Juara Olimpik berusia 29 tahun itu merangkul gelaran dunia buat kali pertama selepas mengatasi rakan senegara, Sydney McLaughlin di tempat kedua dan atlet Jamaica, Rushell Clayton di tempat ketiga.

“Saya memang mahu memenangi gelaran dunia ini, tetapi untuk me­leburkan rekod dunia sekali lagi adalah sesuatu yang sangat hebat.

“Saya buat keputusan untuk terus melakukan larian tanpa memikirkan pencabar saya di kiri dan kanan. Perasaan teruja ini masih belum reda dan begitu juga dengan perasaan gembira saya,” kata Dalilah yang memenangi gangsa pada edisi 2015 di Beijing dan perak pada edisi 2017 di London.

Sementara itu, atlet tuan rumah, Mutaz Essa Barshim mengotakan janjinya untuk menghadiahkan pingat emas buat Qatar apabila memenangi acara final lompat jauh lelaki.

Atlet berusia 28 tahun itu muncul juara dunia buat kali kedua selepas melepasi ketinggian 2.37 meter manakala atlet bebas, Mikhail Akimenko dan Ilya Ivanyuk masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa dengan catatan 2.33m. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *