Dalam Diam Pahang Buat Persiapan

Meskipun berstatus pasukan elit, Pahang dilihat tidak aktif di jendela perpindahan sepertimana pencabar lain Selangor, Terengganu mahupun Kedah.

Mereka banyak melepaskan pemain tetapi setakat ini, tiada pengumuman dibuat siapa pemain masuk. Kemasukan Sharbinee Allawee dan R. Gopinathan pun hanya diketahui penyokong kerana adanya kelibat mereka ketika sesi latihan.

Ada tanggapan persiapan Pahang untuk 2020 “sangat slow” berbanding semua pasukan lain disebabkan mereka tiada duit.

Tetapi Pengurus Pasukan Pahang, Datuk Suffian Awang menjelaskan bukan mereka tiada duit tapi berhati-hati tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Kita lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan. Kita tidak mahu menandatangani pemain tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan. Import pula, hanya Herold Goulon yang kekal. Pemain lain masih dalam proses percubaan. Liga hanya bermula 28 Feb jadi kita masih ada masa.

“Pasukan lain banyak berbelanja seperti Selangor jadi musim ini saingannya cukup sengit. Bagi pihak pengurusan tertinggi Pahang, sudah tentu kita mahu berada di kedudukan terbaik dalam liga.

“Namun pada pandangan saya, Pahang menyasarkan untuk berada pada kedudukan empat teratas liga,” kata Suffian kepada Football Tribe.