Cheng Hoe tagih sentuhan ‘otai’

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Khidmat beberapa pemain senior dalam skuad Harimau Malaya masih ditagih ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe bagi memastikan pasukan itu kekal sebagai pencabar dalam pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Pengendali berusia 51 tahun itu berkata, di samping memberikan peluang kepada pemain muda, beliau juga memerlukan pemain berpengalaman untuk membimbing dan menunjuk ajar kepada ‘adik-adik’ yang kurang pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Memang setiap kali membuat panggilan saya ingin pemain baharu, tapi kita kena fikir bahawa pasukan kebangsaan perlukan keputusan (kemenangan).

Purata umur dalam skuad kebangsaan adalah dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun, hanya empat pemain sahaja yang melebihi 30 tahun.

“Saya memerlukan pemain senior ini yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas antarabangsa, pada masa sama, saya nak pemain muda untuk belajar sesuatu daripada mereka. Peluang sentiasa terbuka kepada semua pemain, tak kira muda atau senior,” katanya pada sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.

Pemain senior dalam skuad Harimau Malaya kali ini ialah penjaga gol Mohd. Farizal Marlias (33), pemain pertahanan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak (32), pemain tengah Brendan Gan (31) dan penyerang Norshahrul Idlan Talaha (33).

Terdahulu, pengurusan skuad itu terpaksa menukar latihan ke waktu pagi berikutan cuaca hujan dan ribut petir di sebelah petang yang mengganggu latihan pasukan berkenaan pada dua hari pertama kem latihan pusat.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu Sri Lanka dalam aksi persahabatan pada Sabtu malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebelum bertemu Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi dalam aksi Kumpulan G, kempen Kelayakan tersebut.

Mengenai kecederaan, Cheng Hoe mengesahkan bahawa tonggak tengah Nor Azam Abdul Azih dan J. Partiban berkemungkinan besar tidak sempat pulih sebelum aksi menentang Sri Lanka manakala Brendan dan Shahrul Mohd. Saad menunjukkan perkembangan positif.

“Pemain yang cedera menunjukkan perkembangan positif, jadi buat masa ini tidak akan memanggil pemain lain untuk menggantikan tempat mereka. Kita akan terus memantau keadaan mereka, harap ada tanda positif,” katanya.

Pada masa sama, Cheng Hoe berkata pihaknya tidak patut memandang mudah kemampuan pasukan ranking ke-202 dunia, Sri Lanka, kerana pasukan itu juga sedang melakukan persediaan rapi untuk kempen Kelayakan tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *