Bukan soal gaji: Emery

LONDON: Unai Emery meminta Nicolas Pepe untuk menangani tekanan sebagai seorang pemain Arsenal.

Pemain bernilai  72 juta pound (RM370.72 juta) itu mengakui dia kurang yakin selepas persembahan buruk di Old Trafford pada Isnin lalu di mana dia terlepas bola sebanyak 17 kali.

Pengendali dari Sepanyol itu akan menghantar pasukan yang berbeza bagi perlawanan Liga Europa bertemu Standard Liege dengan Mesut Ozil dijangka akan diturunkan.

Tetapi dia turut mengambil kira untuk memberi peluang kepada Pepe, 23, untuk mendapatkan prestasinya sebelum ini apabila menjaringkan 23 gol musim lalu yang membuka jalan untuk berpindah dari Lille ke saingan Liga Perdana.

“Mereka adalah manusia biasa, setiap pemain,” kata bos Gunners itu. “Kami bermain setiap masa, sebagai jurulatih atau pemain, berada dalam tekanan.

“Berdepan dengan tekanan adalah sesuatu yang positif. Berhadapan dengan tekanan adalah kerana kami kelab besar dengan banyak okjektif perlu dipenuhi.

“Ia adalah satu keistimewaan berada di sini. Pemain berhak berada di sini dan mereka rasa istimewa berada di sini.

“Keistimewaannya adalah selalu berada dalam tekanan, sudah tentu. Tetapi dengan positif. Bukan kerana gaji, bukan sebanyak mana kelab membayar dia.

“Saya pasti Pepe adalah pemain yang hebat, saya pasti dia akan mempunyai karier yang cerah di sini tetapi dia perlukan masa. Ramai pemain apabila ke sini, pada bulan pertama, tahun pertama adalah bukan tempoh mudah untuk mereka.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *