Boikot Foodpanda: Itu kenyataan peribadi Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pendirian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu mengajak pengguna memboikot perkhidmatan penghantar makanan, Foodpanda merupakan pendirian peribadi bukannya kerajaan.

“Kenyataan Ahli Parlimen Muar itu sama sekali tidak mewakili pendirian Kerajaan Pakatan Harapan (PH)”, kata Mahathir di luar lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, isu memboikot Foodpanda itu tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet PH, namun Perdana Menteri menambah, beliau yakin Syed Saddiq mempunyai alasanya sendiri mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Itu pendapat dia (Syed Saddiq), dia tidak bincang dalam Kabinet langsung. Itu bukan pendirian kerajaan, mungkin dia ada sebab kenapa dia buat kenyataan itu,” jelas Mahathir.

Semalam, melalui laman sosial Twitternya, Syed Saddiq menasihati Foodpanda Malaysia supaya tidak angkuh dan memberi bayangan supaya pengguna ‘memboikot’ perkhidmatan penghantar makanan itu susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Urusan Foodpanda, Sayantan Das membayangkan syarikat itu tiada masalah dengan mogok pekerjanya terhadap skim pembayaran baru mereka. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *