Bintang Kedah Mahu Umum Ucapan Selamat Tinggal

ALOR SETAR : Saya akan membuat pengumuman sendiri berkaitan pelepasan kontrak selepas segala urusan dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sudah selesai.

Demikian reaksi bintang Lang Merah yang masih enggan namanya diketahui selepas tersebar laporan berita beliau memohon untuk menamatkan kontrak dua hari lalu.

Pemain berkenaan berkata, selepas mengemukakan surat permohonan penamatan kontrak itu, beliau kini hanya menanti masa sesuai untuk membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

Saya tidak mahu terburu-buru untuk membuat sebarang pengumuman sekarang kerana ada beberapa perkara yang perlu saya rujuk terlebih dulu. Apabila segala urusan berkenaan sudah selesai, saya akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat.

Saya tetap menghormati KFA yang memberi kerjasama baik selama ini. Saya yakin KFA mampu menyelesaikan segala proses penamatan kontrak ini dengan sempurna.

Jadi, saya berharap segala spekulasi dan tekaan penyokong tidak akan berpanjangan kerana ia akan memberi persepsi kurang tepat. Ini kerana bukan niat saya meninggalkan pasukan berkaitan gaji, tetapi perkara ini saya lakukan atas kehendak peribadi. katanya.

Pemain berpengalaman ini juga berharap penamatan kontraknya tidak dipandang negatif oleh semua pihak termasuk penyokong Kedah meskipun mengundang banyak persoalan kerana skuad Lang Merah masih berada dalam keadaan yang baik.

Saya tidak rela dilabelkan sebagai pemain tidak setia di saat pasukan berdepan masalah tunggakan gaji. Justeru, saya memohon semua pihak agar tenang dan menerima keputusan saya ini dengan hati terbuka. katanya.

Khamis lalu, seorang pemain tempatan skuad Lang Merah memberi bayangan akan menamatkan kontraknya bersama KFA dalam tempoh terdekat.

Pemain berkenaan juga dikhabarkan sudah mengemukakan surat permohonan penamatan kontrak melalui wakilnya pada 29 Mei lalu. KFA dikatakan sudah memberi maklum balas terhadap permohonan itu.