Bayangan akan tinggalkan Lang Merah

ALOR SETAR: Persoalan mengenai siapa penyerang baharu Kedah bagi musim 2020 kini menjadi topik hangat apabila peledak sensasinya Fernando Rodriguez memberi isyarat bakal meninggalkan pasukan itu.

Ini berikutan tindakannya memuatnaik ucapan selamat tinggal melalui laman sosial dengan profil rodriguez9ro yang dipercayai miliknya sebaik tamat aksi Piala Malaysia, baru-baru ini.

Menerusi paparan itu, dia memaklumkan sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Kedah yang dianggapnya seperti keluarga itu.

“Terima kasih rakan seperjuangan, terima kasih semua penyokong, terima kasih kumpulan perubatan, terima kasih pengurusan, terima kasih dari hati saya.

“Di sini muncul seorang lagi penyokong untuk musim depan, dan saya berharap pasukan Kedah dapat menyaingi musim hebat tahun ini dan memberi aksi terbaik pada musim depan.

“21 gol, menjadi juara Piala FA, peringkat akhir pada saingan Piala Malaysia 2019 dan berada pada kedudukan keempat dalam Liga Super tidak mencukupi untuk saya terus bersama ‘keluarga’ ini untuk setahun lagi.

“Tetapi ini adalah hakikat dalam bola sepak dan perancangan tidak berlaku seperti apa yang kita fikirkan atau perlukan.”

Penyerang kelahiran Sepanyol berusia 32 yang meledak 21 gol dalam saingan Liga Malaysia termasuk 8 gol dalam Piala Malaysia tahun ini itu turut memuatnaik gambar bersama anak lelaki yang memakai jersi skuad Hijau Kuning selepas Kedah menjuarai Piala FA pada Julai lalu. 

“Saya harus bangkit dengan lebih kuat untuk menghadapi cabaran sekali lagi dan saya bangga untuk mengatakan dia (anak saya) juga menjadi sebahagian daripada keluarga Kedah untuk musim 2019.” katanya.

Begitupun setakat ini, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah berkaitan status Rodriguez itu sekaligus menghangatkan lagi khabar angin berkenaan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *