‘Bala’ Menanti Import

SEBAHAGIAN besar pasukan Liga Malaysia merancang mengurangkan kesan kewangan akibat pandemik Covid-19 dengan ‘menamatkan’ kontrak pemain import bergaji lumayan.Beberapa opsyen sedang difikirkan pasukan terbabit antaranya tidak menyambung kontrak pemain import musim depan, menamatkan kontrak lebih awal dengan persetujuan bersama, mengurangkan jumlah pemain import dan menggunakan sepenuhnya pemain tempatan. Begitulah nasib tidak menentu puluhan pemain import yang sedang beraksi bersama 24 pasukan Liga M berikutan krisis Covid-19 tahun ini.Difahamkan, kebanyakan pasukan terbabit lebih berminat memilih opsyen tidak menyambung kontrak pemain import yang tamat hujung tahun ini kerana ia tidak merumitkan terutama dari segi implikasi perundangan.

Perkara terbabit diakui Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah yang memaklumkan ‘bala’ akan menimpa pemain import yang rata-rata mungkin ditamatkan kontrak awal demi menjimatkan perbelanjaan pasukan.Beliau berkata, inisiatif terbabit sekali gus dapat menjimatkan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan untuk setiap awang import dengan menggantikan pemain lebih murah pada musim depan. Saya menjangkakan nasib pemain import di negara ini agak malang iaitu kemungkinan kontrak mereka tidak akan disambung lagi berikutan setiap pasukan mahu menjimatkan pembelanjaan masing-masing.Perkara terbabit tidak dapat dielakkan kerana lebih baik menggugurkan pemain untuk menjimatkan perbelanjaan daripada menanggung bebanan hutang hingga gaji tertunggak. Oleh itu, senario bola sepak negara bakal menyaksikan kekurangan pemain import terutama pada musim hadapan dan mungkin ada pasukan tidak menggunakan khidmat mereka bagi memulihkan kembali kantung masing-masing, katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, menurut sumber, beberapa pasukan Liga M mendedahkan mereka sudah mula mempertimbangkan untuk melakukan rasionalisasi dalam perbelanjaan terutama menggugvrkan beberapa pemain import walaupun kehadiran mereka memberi impak positif. Tindakan sama turut dilakukan oleh pasukan bertaraf gergasi apabila mereka berusaha mencari kesepakatan dalam pembayaran pampasan kepada pemain import supaya dapat dilepaskan awal.Mengikut peraturan Liga M, setiap pasukan dibenarkan mengikat lima pemain import termasuk seorang daripada kuota pemain import Asean.Setakat ini, rata-rata pasukan Liga Super memiliki sekurang-kurangnya empat pemain import yang dibayar gaji purata minimum kira-kira RM20,000 sebulan.