Bahayanya gigi rosak pada otak

Lazimnya berpunca daripada masalah lambat berjumpa doktor untuk tindakan sewajarnya
ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1

DOKTOR, anak saudara saya pada mulanya mengalami gusi bengkak hingga bernanah. Serangan infeksi yang dialaminya hinggakan dia mengalami pendarahan otak disebabkan bakteria. Syukur keadaannya kini stabil, namun masih perlu dipantau pihak hospital. Kami difahamkan sakit ditanggungnya berkaitan dengan sepsis (iaitu komplikasi berbahaya akibat infeksi). Doktor, benarkah sakit gigi hingga sampai boleh merosakkan otak? Boleh doktor terangkan prosesnya?

PEMUDA GUSAR, AIMAN HAKIM ZAKI, KUALA TERENGGANU, TERENGGANU

JAWAPAN:

TUAN, ya, sepsis boleh menjejaskan otak. Tindak balas imun yang tidak seimbang akan mendorong perubahan fungsi otak. Itu merupakan satu proses yang kompleks. Kaitan utamanya adalah oksigen.

Apabila sepsis tidak atau lambat dirawat, tekanan darah akan menurun dengan tidak normal. Hal itu akan menyebabkan otak tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Padahal oksigen sangat penting untuk memastikan otak dapat berfungsi dengan baik.

Mana-mana individu yang mengalami sebarang jenis jangkitan dalam badan berisiko untuk mendapat sepsis sekiranya tidak dirawat awal atau dicegah daripada komplikasi jangkitan.

Pun begitu, terdapat beberapa golongan yang lebih tinggi risiko untuk mengalaminya. Golongan berkenaan adalah seperti pesakit yang terlalu muda (bayi) atau terlalu tua (warga emas).

Begitu juga pesakit yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik dan juga ibu mengandung.

Pendek kata, gigi yang tidak dijaga akan membawa kepada jangkitan kuman. Selain sepsis, komplikasi lain yang boleh berlaku adalah cellulitis, jangkitan pada tulang, Ludwig’s angina dan juga sukar bernafas apabila jangkitan merebak ke bahagian lain. Oleh itu, kesihatan gigi dan mulut adalah sesuatu yang tidak boleh diambil ringan.

Soalan 2

DOKTOR, anak saya yang berusia tiga tahun mengalami kerosakan gigi yang sangat teruk. Hampir keseluruhan gigi susunya rosak. Saya akui, si kecil banyak makan gula-gula. Saya menyesal tidak menjaga giginya sejak awal. Doktor, apa yang patut saya lakukan untuk merawat giginya supaya kerosakan tidak merebak?

IBU PRIHATIN, SITI AISYAH RAHMAT, 36, RAWANG, SELANGOR.

JAWAPAN:

PUAN, masalah gigi dalam kalangan kanak-kanak bukan perkara asing lagi. Ini kerana kebanyakan ibu bapa menganggap gigi susu tidak penting kerana lama-kelamaan ia akan digantikan dengan gigi kekal.

Tahniah saya ucapkan kepada puan kerana mempunyai kesedaran untuk membantu anak. Kerjasama ibu bapa sangat diperlukan dalam menjaga kesihatan gigi kanak-kanak.

Untuk pengetahuan puan dan pembaca, kerosakan gigi berlaku apabila bakteria bertindak dengan gula dan menghasilkan asid. Asid akan mereputkan permukaan gigi dan menyebabkan karies atau gigi berlubang.

Makanan dan minuman manis seperti gula-gula, susu, coklat, air berkarbonat dan sebagainya merupakan sumber utama gula yang melekat pada gigi.

Oleh itu, amalkan makanan berkhasiat dan hadkan pengambilan makanan dan minuman manis untuk anak. Bukan sahaja dapat mengelakkan kerosakan gigi, malah ia membantu pertumbuhan tubuh yang lebih sihat.

Selain itu, tabiat tidur sambil menghisap botol susu juga meningkatkan risiko karies gigi. Susu yang mengandungi gula akan berada dalam tempoh yang lama di dalam mulut ketika mereka tidur.

Pada waktu itu, kandungan air liur adalah kurang dari waktu biasa. Keadaan itu menyebabkan nilai PH berkurang atau lebih berasid dan permukaan gigi akan lebih senang mereput.

Jangan biarkan anak anda tidur dengan botol yang mengandungi susu atau apa saja air manis. Kurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat. Mulakan dengan mencairkan susu atau air manisan tersebut dan galakkan minum menggunakan cawan atau sippy cup.

Bersihkan gigi anak sekurang-kurangnya dua kali sehari. Mulanya mungkin memerlukan sedikit paksaan, namun lama kelamaan mereka akan terima, faham dan mereka akan meneruskan rutin tersebut.

Boleh diselamatkan

Penggunaan ubat gigi berflourida juga penting. Carilah ubat gigi kanak-kanak yang mengandungi flourida 500 hingga 600 bahagian per juta (ppm). Bagi yang berumur enam tahun ke atas atau yang sudah pandai berkumur, boleh memperkenalkan ubat gigi dewasa yang mengandungi flourida 1,000 hingga 1,200ppm.

LATIH anak-nak menggosok gigi sejak dari kecil.
Pun demikian, anda perlu mengawasi mereka supaya tidak menelan ubat gigi tersebut kerana itu akan membawa kepada masalah flourosis.

Pupuk kesedaran yang berpanjangan kepada kanak-kanak. Ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik. Perlu diingatkan bahawa rawatan untuk setiap kanak-kanak adalah berbeza. Walaupun melalui mata kasar masalah anak kelihatan sama seperti kanak-kanak lain, itu tidak bermakna pilihan rawatan semestinya sama.

Berjumpalah dengan doktor gigi yang bertauliah dan dapatkan nasihat serta rawatan sewajarnya. Gigi yang masih boleh diselamatkan akan ditampal atau dimatikan akar. Jika tidak, gigi tersebut perlu dicabut.

Rawatan itu boleh dilakukan di atas dental chair atau bagi sesetengah kes, kanak-kanak tersebut memerlukan bius separa sedar atau bius am.

Kesimpulannya, tabiat penjagaan gigi yang baik perlu dipupuk sejak kecil kerana ia akan memberi impak besar terhadap pembentukan gigi kekal.

Profil

Dr Yusriani Yusof

Doktor Pergigian di Klinik Pergigian Pearl, Johor Bahru. Beliau telah berkhidmat sebagai doktor gigi selama lapan tahun.

Mempunyai pengalaman bekerja di klinik pakar pergigian pediatrik selama lebih empat tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *