Bagus Kalau Sumareh Ke Sana

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan lebih mantap sekiranya pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menyertai JDT.

Itu pandangan bekas pemain Johor, Rizal Sukiman sekali gus menepis pendapat yang disuarakan pemerhati bola sepak tempatan, Serbegeth Singh yang menganggap tiada yang istimewa mampu dibawa Sumareh ke JDT sebelum ini.

Menurut Rizal, Sumareh antara pemain yang menyerlah dalam saingan liga tempatan dan dengan kemampuan yang dimilikinya, sudah tentu dia mampu menyuntik sesuatu yang positif kepada JDT dengan kualiti yang ada pada dirinya.

Saya tengok dia ada 20 peratus lebih daripada pemain tempatan. Kalau dia tidak ada kualiti, sudah tentu tiada khabar angin yang menyatakan dia akan ke JDT.

Lagi bagus kalau Sumareh ke JDT kerana di situ pun, ada ramai pemain kebangsaan. Secara tidak langsung, ini akan bantu skuad kebangsaan kita juga kerana mereka ada persefahaman yang baik apabila beraksi bersama di peringkat kelab.

Berdasarkan kemudahan dan persaingan dengan pemain import serta pemain tempatan yang ada di sana, saya yakin dia mampu untuk terus meningkatkan lagi kualiti permainan dan prestasinya, katanya.

Terdahulu, Serbegeth yang lebih mesra disapa Shebby menyifatkan pemain Pahang itu hanya mempunyai tahap yang setaraf dengan pemain tempatan yang sudah dimiliki JDT ketika ini.

Sementara itu, bekas jurulatih Sumareh ketika di PDRM, Mohd Fauzi Pilus turut senada dengan Rizal dan optimis kehadiran pemain kelahiran Gambia itu dapat membantu memperkasa jentera Se3rangan JDT.

Saya menyaksikan sendiri perkembangannya sejak mula dia beraksi bersama PDRM dan memang kita boleh nampak peningkatannya. Dia memang pemain yang berkemahiran, kuat dan ada keazaman yang tinggi.

Dia antara pemain sayap terbaik di negara ini. Saya yakin kalau dia mendapat peluang di JDT, dia mampu bersaing dengan pemain di sana dan ini juga peluang untuknya beraksi di peringkat lebih tinggi, katanya.