Apa nasib Latiff

KUALA TERENGGANU: Bekas pemain kebangsaan, Abdul Latiff Suhaimi akur selepas khidmatnya tidak disambung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) musim depan.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kelantan itu tetap ‘membuka pintu’ kepada bekas majikannya itu jika masih mahu mendapatkan khidmatnya kerana sehingga kini masih belum menjadi milik mana-mana pasukan.

“Kontrak bersama Selangor akan tamat pada November ini dan saya tidak lagi bersama pasukan itu kerana kontrak tidak disambung,” kata Latiff, 30.

“Buat masa ini, belum ada mana-mana pasukan lagi tetapi saya bersedia berunding dengan mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya termasuk Selangor.”

Musim ini, bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu beraksi dengan cemerlang bersama skuad The Red Giants di posisi pertahanan bawah kendalian jurulatih B. Sathianathan.

Namun, ia masih belum mampu menambat hati FAS untuk mengekalkan pemain yang memulakan karier bersama skuad Pulau Pinang.

Selain skuad Selangor, TFC dan Pulau Pinang, pemain berpengalaman yang boleh beraksi di jentera tengah itu turut pernah menyarung jersi skuad FELDA United, PDRM, Kedah dan T-Team.

“Saya tetap positif dan percaya rezeki tetap ada biarpun hanya semusim bersama Selangor,  mungkin rezeki saya selepas ini dengan pasukan lain pula.

“Saya ucapkan terima kasih kepada FAS yang memberi peluang kepada saya beraksi bersama pasukan itu yang saya sifatkan bagaikan satu keluarga apatah lagi banyak kenangan manis dengan Selangor,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *