Anak Allahyarham Johan Nawawi sertai Mentor Milenia 2019

PETALING JAYA – “Saya berniat ingin sambung legasi arwah ayah. Kalau ibu bersara nanti, siapa ingin sambung legasi yang ditinggalkan. Biar saya cuba mana tahu ada rezeki,” demikian kata anak kedua penggubah lagu popular, Allahyarham Johan Nawawi iaitu Muhd. Syakir Alif.

Anak muda berusia 20 tahun itu tersenarai antara 20 calon protege program realiti, Mentor Milenia 2019.

Ujarnya, semestinya jangkaan orang ramai terhadapnya tinggi kerana merupakan anak kepada penyanyi Nora Ariffin, 46, dan penggubah lagu yang disanjung ramai.

“Tertekan juga biarpun masih dalam kelompok 20 terbaik ramai sebenarnya sudah meletakkan harapan tinggi kepada saya kerana latar belakang saya.

“Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan saya terpilih kerana ‘cable’ (pengaruh arwah bapa). Ibu pula seorang penyanyi berpengalaman. Saya juga melalui proses sama seperti orang lain. Beratur, pergi ujibakat dan sebagainya.

“Sebenarnya, saya rasa sangat kecik kerana mereka yang tersenarai dalam kelompok 20 terbaik ini hebat-hebat belaka. Masih terlalu awal namun saya akan melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di Hotel Hilton di sini sebentar tadi.

Ditanya apa tips yang diperoleh daripada ibunya, Nor Ariffin, jawab Alif: “Dia (ibu) pesan jangan terlalu layan kritikan netizen. Kena kuat kerana kecaman akan sentiasa ada tapi saya perlu belajar untuk mengendalikannya. Selain itu, ibu pesan jangan minum ais dan perlu buat persediaan dari segi mental dan fizikal.

“Masuk Mentor Milenia, saya perlu utamakan juga soal penampilan. Saya nekad untuk kurus. Berat dahulu 130 kilogram (kg), sekarang 96 kg. Penampilan penting untuk mendapat tempat dalam industri ini,” katanya.

Mentor Milenia akan mula bersiaran pada 6 Ooktober ini pukul 9 malam menerusi TV3.

Mengandingkan Shuk Sahar dan Elly Mazlein sebagai hos, lima penyanyi diberi tanggungjawab sebagai mentor iaitu Akim Ahmad, Black Hanifah, Hazama, Ernie Zakri dan Stacy.

Sementara itu, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi rap, Altimet akan bertindak sebagai juri tetap. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *