Aina enggan ulang kesilapan lalu

ANDAI disorot kembali lima tahun lalu, gadis yang menggunakan nama pentas sebagai Aina Abdul ini pasti antara yang dikenali terutama dalam kalangan peminat muzik bergenre balada.

Penglibatannya buat kali pertama dalam pertandingan nyanyian berskala besar, Mentor Legend pada 2014 turut meninggalkan impak tersendiri pada perjalanan karier seninya.

Berkat usaha dan keringat yang diberikan selama beberapa minggu akhirnya terbalas apabila dia dinobatkan sebagai naib juara pertandingan tersebut.

Menurut protege kepada penyanyi dan Ratu Rock negara, Ella, dia bersyukur atas kemenangan dan peluang yang diberikan itu dan secara tidak langsung membuka lembaran kepadanya untuk terus berkarya.

Ironi, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 26, turut pernah melalui dan menempuh jalan sepi yang penuh liku demi bergelar seorang anak seni.

Kejatuhan

Seperti penyanyi dan anak seni lain juga, masing-masing ada jalan dan ceritera hidup tersendiri. Sekejap manis dan kadangkala pahit untuk ditelan.

Begitu juga yang dirasai dan diharungi Aina sepanjang berada dalam industri muzik.

“Entah di mana silapnya. Jujur saya katakan selepas dinobatkan sebagai naib juara Mentor Legend, perjalanan karier seni selepas itu menjadi hambar, suram dan cacamarba.

“Walaupun mempunyai sebuah single sendiri berjudul Itu Yang Kau Mahu pada 2015, namun ia seolah-olah tidak mendapat perhatian apatah lagi diterima umum,” tutur Aina sedikit emosi saat membuka bicara bersama Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi khas bersamanya.

Ujarnya, disebabkan perkara tersebut dia seolah-olah hilang arah dan tujuan dengan apa yang dilakukan pada ketika itu hingga menyebabkan dirinya dilanda kemurungan.

“Jujur saya ini seorang yang mudah rapuh. Hati saya kadangkala tak kuat untuk mengharungi dan menerima sesuatu ketentuan apatah lagi kritikan tidak membina.

“Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mendiamkan diri selama beberapa tahun dan hanya terperuk di dalam rumah sahaja tanpa sebarang aktiviti seni.

“Lama-kelamaan nama saya pun orang mula lupa dan seolah-olah tidak pernah wujud. Sepanjang proses berehat, banyak juga lirik lagu yang saya hasilkan selain merangka beberapa perancangan untuk masa depan dalam karier seni,” katanya.

Bangkit

Disember tahun lalu menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula penyanyi bersuara lunak dan berbakat besar ini.

Tanpa berfikir panjang, dia dengan bantuan beberapa orang kuat dalam industri muzik tempatan tampil dengan single terbaharu berbahasa Inggeris yang berjudul Shadow.

“Alhamdulillah, setelah mengharungi jalan gelap selama beberapa tahun, saya mengumpulkan semula kekuatan untuk kembali aktif, sekali gus menyangkal ketidakwujudan saya sebelum ini.

“Menerusi single pop, Shadow itu, orang mula membuka mata dan mengenali semula siapa Aina Abdul.

“Walaupun memakan masa selama dua ke tiga bulan untuk lagu tersebut diterima pendengar, saya tetap bersyukur dapat memberikan sesuatu kepada peminat,” ujarnya yang meminati penyanyi Yuna, Emelia dan Hael Husaini dalam kerjaya nyanyian.

Tambah Aina, selepas Shadow diterima ramai, peminat dan pengikut turut memintanya mengeluarkan sebuah single berbahasa Melayu.

“Berkat doa dan kesabaran semua, pada 26 Mac lalu, mencatatkan satu lagi sejarah dalam relung kehidupan saya sepanjang bergelar anak seni apabila single berjudul Sumpah berjaya diluncurkan.

“Sumpah dicipta sepenuhnya oleh saya sendiri pada tahun lalu selepas beberapa bulan single Shadow dikeluarkan. Jujur saya katakan lagu Sumpah memberikan semula sinar dan nafas baharu terhadap kerjaya seni saya.

“Lagu tersebut mengisahkan tentang apa yang dialami oleh saya. Jatuh bangun, pahit manis, suka duka dan segala rasa saya terjemahkan dalam single tersebut,” tuturnya yang memberitahu single Sumpah telah berjaya meraih lebih daripada 620,000 tontonan dan 6.5 juta likes.

Bahkan, Aina memanjatkan syukur apabila single terbaharu itu juga berjaya dipertandingkan dalam program Muzik-Muzik ke-34.

Tutup soal Shadow dan Sumpah. Benar kata orang rezeki tak pernah salah alamat. Itu apa yang turut berlaku kepada Aina.

Kolaborasi

Berkongsi lanjut, Aina memberitahu, dia bakal hadir dengan sebuah lagi buah tangan terbaharu berupa berbahasa Inggeris berjudul Ghost bulan hadapan.

Katanya, lagu tersebut turut mendapat sentuhan daripada seorang deejay terkenal daripada kumpulan MFMF yang turut pernah berkolaborasi bersama penyanyi seperti Daiyan Trisha dan Yuna.

Tambah Aina yang tercalon menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) baru-baru ini, dia menetapkan untuk mengeluarkan dua lagu setiap tahun sebagai salah satu cara untuk dia terus berkarya secara konsisten.

“Alhamdulillah lagu Ghost yang bakal dikeluarkan pada bulan hadapan sudah siap sepenuhnya. Mungkin ramai juga yang beranggapan saya sekadar syok sendiri kerana menetapkan untuk keluar sebuah lagu Inggeris dan Melayu setiap tahun. Tapi ini semua perancangan dan impian saya sejak dari saya berehat sebelum ini,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Aina turut meminta dan memohon sokongan serta kerjasama daripada peminat untuk terus menyokongnya dalam Muzik-Muzik yang mempertandingkan single Sumpah.

“Tanyalah mana-mana penyanyi sekali pun terutama bakat baharu seperti saya, pasti menjadi impian semua untuk beraksi di pentas gemilang Anugerah Juara Lagu (AJL). Perkara tersebut turut dirasai saya.

“Jika ada rezeki, peluang dan ruang, misi saya seterusnya adalah untuk menembusi dan melangkah ke pentas AJL sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir. Itulah impian yang sudah lama saya idamkan,” tuturnya seraya menutup bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *