Aidil Sharin Tunggu Lampu Hijau

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak sudah sedia kembali ke negara ini bagi memulakan sesi kejurulatihan pasukan fasa satu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau yang berada di Singapura, kini hanya menanti kelulusan daripada Jabatan Imigresen untuk kembali ke negara ini selepas permohonan dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Saya bersemangat untuk kembali bersama pasukan di Kedah. Buat masa ini saya masih menunggu kelulusan permohonan untuk pulang ke Malaysia yang dibuat oleh KFA melalui pejabat Imigresen di Putrajaya.

“Sebaik mendapat lampu hijau berkenaan, saya akan terbang ke Kedah secepat mungkin. Saya juga bersedia untuk menjalani segala prosedur yang ditetapkan dalam proses kemasukan semula ke Malaysia.” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aidil menganggap pengalaman tiga bulan tanpa bersama skuad Lang Merah sebagai sesuatu yang sukar beliau lupakan sepanjang kariernya bergelar ketua jurulatih.

“Sepanjang kerjaya, belum pernah saya ‘berehat’ lebih dari sebulan tanpa latihan bersama pasukan. Disebabkan penularan pandemik COVID-19 tempoh rehat saya sudah menjangkau tiga bulan iaitu sejak Mac lalu.

sumber:BH

“Saya terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan ini, sama seperti jurulatih lain bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik. Cuma bezanya, saya berada di luar Malaysia dan ini adalah satu cabaran yang sukar saya lupakan,” katanya.