Adakah RMS akan jadi boneka di FAS?

Mahu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal sebagai Presiden tetapi tidak boleh terima keputusan dibuat oleh baginda.

Mahukan RMS untuk membawa transformasi kepada arena bolasepak Selangor tetapi tidak mahu bersatu sepertimana yang baginda mahukan sebaliknya berterusan mendesak Kongres Luar Biasa diadakan agar boleh singkirkan individu yang baginda bawa masuk.

Jika memetik kata-kata baginda dalam satu kenyataan sebelum ini, ianya disifatkan cubaan rampasan kuasa.

RMS sudah terang-terangan menyatakan bahawa baginda tidak bersetuju EGM diadakan dan menyatakan murka dengan sikap yang ditunjukkan ahli gabungan namun nampaknya usaha untuk mendesak ianya diadakan tetap tidak putus.

Apabila RMS murka tetapi ahli gabungan tetap berkeras, ini menunjukkan bahawa mereka tidak lagi peduli sekiranya tindakan mereka membuat RMS tawar hati untuk terus memimpin Persatuan Bolasepak Selangor dan mendorong baginda untuk melangkah keluar.

Andai EGM diadakan dan barisan Jawatankuasa Eksekutif dirombak sepertimana dipinta 67 ahli gabungan, kemungkinan yang pertama terjadi adalah orang lama yang sudah tiada atau disingkirkan dari persatuan kembali dan memegang jawatan penting sekaligus menjadikan pembaharuan yang telah cuba dibuat RMS sejak tiga bulan lalu sia-sia.

Kemungkinan kedua, sekiranya RMS masih kekal sebagai presiden selepas EGM sepertimana jaminan oleh ahli gabungan, baginda mungkin akan sekadar menjadi boneka sahaja dan pengaruh baginda sekadar untuk membawa masuk penajaan dan menyuntik kewangan semata-mata.

Kenapa disimpulkan sedemikian? Baginda menolak permintaan EGM dan sudahpun menjelaskan sebabnya, baginda meminta semua bersatu dan berdamai, baginda sudah sampai ke satu tahap menyatakan rasa dukacita, terkilan dan murka tetapi semuanya tidak dihiraukan ahli gabungan yang tetap mahu EGM diadakan.

Apakah jaminan bahawa selepas ini satu kerjasama yang baik dapat dibentuk Jawatankuasa Eksekutif baru yang dipilih ahli gabungan dengan RMS, apakah mereka akan mendengar kata-kata dan perancangan baginda sedangkan ketika ini pun kata-kata baginda tidak lagi dihormati.

Kalau diikutkan, FAS sememangnya tiada perancangan untuk mengadakan EGM tersebut, tetapi ahli gabungan telah menghantar notis pada minggu lalu menyatakan bahawa jika FAS gagal mengadakannya dalam tempoh 30 hari selepas penyerahan memorandum pada 1 Oktober lalu, maka mereka mempunyai hak untuk mengadakannya sendiri dengan bantuan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia.

Mereka sedia merujuk perkara ini kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan FIFA jika tidak dapat diselesaikan malah spekulasi bertiup mengatakan ianya mungkin diadakan pada 8 November depan namun belum ada sebarang pengesahan rasmi.

Jelas sekali, kemelut ini memperlihatkan betapa rapuhnya kesatuan di kalangan ahli gabungan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kepentingan sendiri didahulukan berbanding keinginan memacu bolasepak Selangor kembali ke era gemilang.

Masih belum terlambat untuk ahli-ahli gabungan yang mahu memanggil EGM ini untuk menarik balik hasrat mereka. Apa yang diperlukan RMS sekarang ini adalah sokongan penuh dari kesemua 96 ahli gabungan terhadap idea, perancangan, keputusan dan pembaharuan yang baginda cuba bawa.

Peringatan mesra, perpecahan tidak menguntungkan sesiapa kecuali mereka yang sememangnya mempunyai agenda tertentu. Buatlah satu keputusan yang terbaik demi masa depan bolasepak Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *