Ada pemain mungkin ‘dikorbankan’

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia untuk melepaskan mana-mana pemain bagi merealisasikan Projek 24 iaitu menyiapkan barisan pemain muda dalam situasi berprestasi tinggi berlandaskan kepada pencapaian serta kedudukan ranking dunia.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan skuad badminton negara mampu mancapai sasaran tinggi yang ditetapkan tetapi tetap akan memberikan bantuan kepada mana-mana pemain yang layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, BAM tidak boleh bergerak seperti sekarang ini seandainya mahu membina sebuah pasukan yang mantap bagi mencapai sasaran besar selain kembali menjadi kuasa besar sukan itu.

“Setiap pemain termasuk jurulatih akan dinilai dan saya berharap tiada sebarang spekulasi dibuat terhadap perkara ini ini kerana setiap pemain perlu pamerkan peningkatan sebenar mereka sehingga hujung tahun.

“Seandainya pemain atau jurulatih berkenaan tiada dalam senarai perancangan, kami akan bantu mereka menggunakan jalan lain (bergerak secara profesional) untuk ke Sukan Olimpik.

“Kami bersedia untuk menggugurkan pemain demi menjayakan Projek 24 ini,” katanya di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Projek 24 yang akan diperkenalkan BAM menyasarkan pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, selain menetapkan sasaran Malaysia sebagai finalis Piala Thomas.

Menerusi projek itu, prestasi pemain akan dinilai setiap empat bulan dan bagi mereka yang gagal mungkin terpaksa bergerak secara profesional.

Walaupun Projek 24 itu masih belum mendapat kelulusan daripada Ahli Majlis BAM, namun Mohamad Norza mahu ia dilaksanakan segera.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh untuk tindakan susulan.

“Ada sedikit perubahan kecil dilakukan semasa mesyuarat itu berlangsung dan apabila perkara ini di bawa ke Mesyuarat Ahli Majlis, jika ada perubahan kecil ia tidak akan memberi kesan kepada Projek 24.

“Menerusi Projek 24 ini juga, ketua jurulatih diberikan kuasa penuh untuk menjalankan program latihan dan berdasarkan kepada pembentangan yang dilakukan sebelum ini, tiada sebarang konflik berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *