90 Peratus Sudah Siap

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui membatalkan saingan liga musim ini adalah antara opsyen dipertimbang badan pengelola Liga Malaysia itu, jika krisis Covid-19 berpanjangan.

Pelbagai cadangan diutarakan bagi memastikan saingan liga dapat diteruskan musim ini, namun saranan Kementerian Kesihatan Malaysia agar tiada ‘social gathering’ atau perhimpunan besar-besaran setidak-tidaknya untuk 6 bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan ditamatkan, membawa kepada pelbagai kemungkinan.

MFL dijangka membuat keputusan mengenainya dalam masa beberapa hari lagi.

“Kita telah membincangkan pelbagai kemungkinan, membatalkan saingan dan memendekkan tempoh pertandingan adalah antara pilihan.

“MFL dan FAM Persatuan Bolasepak Malaysia telah duduk bersama sejak sebulan yang lalu untuk mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi semua pertandingan, termasuklah Liga Malaysia. Kita juga bekerjasama rapat dengan FIFA dan AFC.

“Minggu depan, kita akan keluarkan satu kenyataan, setelah segalanya dimuktamadkan. Kenyataan itu juga akan menyebut mengenai pemotongan gaji pemain dan staff kejurulatihan. Buat masa ini laporan sudah 90 peratus siap, kita membuat kajian secara teliti dengan merujuk kepada pihak yang relevan.

“Antara perkara diteliti termasuklah kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan, serta mengenai saranan supaya tiada social gathering untuk satu tempoh waktu, dan mengambil kira keputusan atau peraturan oleh AFC/FIFA,” ujar Hamidin dipetik dari NST Sports.

Hamidin turut memberitahu bahawa pihaknya akan meminta pandangan daripada Majlis Keselamatan Negara sekiranya perlawnan bolasepak boleh dilangsungkan tanpa penyokong.

Sebagai rekod, semua saingan bolasepak domestik telahpun ditangguhkan sejak 16 Mac lalu, dua hari sebelum PKP dilaksana dan tarikh terbaru PKP akan tamat adalah pada 28 April depan.

Sumber/Kredit artikel : NSTP by Ajitpal Singh