13 Pasukan Jadi Lawan Untuk Perkuatkan Selangor

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, B Sathianathan tampak bakal ‘sibuk’ sepanjang pramusim ini memandangkan dia mahu memastikan anak buahnya tampil lebih mantap pada kempen Liga Malaysia (Liga M) 2020.

Meskipun saingan hanya akan membuka tirainya penghujung Februari nanti namun tiada alasan untuk pemain The Red Giants bersenang lenang terutama selepas bekas jurulatih skuad kebangsaan itu ‘menuntut’ tiga perkara daripada anak buahnya.

“Kita sudah hampir memiliki skuad yang lengkap tetapi kita masih menunggu beberapa pemain yang belum lagi dapat bersama kita atas beberapa kekangan.

“Fokus utama kita ketika ini adalah untuk meningkatkan kecergasan dan dengan kehadiran beberapa muka baharu, kita perlu segera mencipta keserasian dengan baik.

“Apa yang penting juga adalah saya perlu pastikan semua pemain dapat mengikut peran cangan dan taktikal yang bakal saya terapkan nanti,” katanya.

Dengan 13 perlawnan persahabatan yang disusun Selangor setakat ini, sudah tentu ia dapat membantu Sathianathan mendapatkan gambaran awal mengenai kemampuan pasukannya bagi musim 2020.

Selain itu, ini memberi peluang terbaik untuk Sathianathan menilai dan menyiapkan pasukan selengkapnya sebelum membuka saingan Liga M nanti.

Sebagai rekod, mereka akan mengharungi Cabaran Asia 2020 pada pertengahan bulan hadapan yang membabitkan penyertaan tiga pasukan dari ASEAN iaitu Bangkok City (Thailand), Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Selepas itu, mereka dijangka terbang ke China untuk menyertai kejohanan jemputan Piala Meizhou Hakka sebelum meneruskan sesi latihan dan aksi persahabatan di tanah air.

Sumber: BH